[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Iktiraf Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark satu kejayaan besar - Exco

Bernama 13/09/2025 | 09:21 MYT
Pengiktirafan rasmi itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara, pihak akademik serta komuniti setempat. - Bernama
IPOH: Kerajaan Perak menyifatkan pengiktirafan Lenggong sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp) satu kejayaan besar bagi memperkukuh kedudukan negeri berkenaan dalam peta pelancongan dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata pengiktirafan rasmi Majlis UNESCO Global Geopark itu bukan sahaja mengangkat warisan geologi dan arkeologi Lenggong, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat melalui sektor pelancongan lestari.

Beliau berkata pengiktirafan rasmi itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara, pihak akademik serta komuniti setempat yang sentiasa memainkan peranan aktif dalam pemeliharaan serta pembangunan warisan geologi, arkeologi, sejarah dan biodiversiti di Lenggong.

"Lenggong bukan sekadar sebuah daerah tetapi khazanah bernilai tinggi dengan rekod kehidupan awal manusia di Asia Tenggara melalui penemuan rangka Perak Man serta pelbagai artifak prasejarah yang menjadi bukti ketamadunan manusia awal.

"Kini dengan status UGGp, Lenggong sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa Perak adalah negeri yang kaya dengan sejarah, budaya dan warisan semula jadi yang tiada tandingan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Loh juga berkata pengiktirafan itu bukan sahaja menambah nilai kepada status Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012, malah membuka ruang lebih luas bagi pembangunan pelancongan berasaskan warisan dan pendidikan, yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara.

"Status UGGp itu memberi peluang besar kepada penduduk setempat untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui aktiviti pelancongan komuniti, produk kraf tangan, makanan tradisional, inap desa serta pelbagai inisiatif berasaskan ekopelancongan yang akan dipacu oleh kerajaan negeri bersama agensi berkaitan.

"Kerajaan negeri optimis limpahan ekonomi daripada pengiktirafan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh aktiviti perusahaan kecil dan sederhana, di samping memastikan masyarakat setempat menjadi penerima manfaat utama," katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan negeri adalah untuk memastikan pembangunan Lenggong UGGp ini dilaksanakan secara lestari dengan mengekalkan keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar, pemuliharaan warisan sejarah serta pembangunan ekonomi.

"Kami mahu Lenggong terus dikenali sebagai model pembangunan geopark yang mampan dan pemeliharaan alam dan warisan dapat dijalankan seiring dengan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dengan semangat sebenar Malaysia MADANI.

"Dengan pengiktirafan ini, Lenggong bukan sahaja menjadi kebanggaan Perak tetapi juga Malaysia di persada dunia, sekali gus bersedia untuk menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia yang ingin menyaksikan sendiri keindahan, kekayaan sejarah dan keunikan geologi yang dimiliki," katanya.

Pengiktirafan berkenaan dibuat pada Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile bersempena Mesyuarat ke-10 Majlis UNESCO Global Geoparks pada 7 Sept lepas.

Penerimaan rasmi itu mengiktiraf Lenggong sebagai sebahagian daripada rangkaian UGGp selepas empat tahun diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Dis 2021.

-- BERNAMA

#UNESCO Global Geopark #tapak warisan dunia #lengging #pengiktirafan #sejarah #Warisan