KUALA LUMPUR: Kerajaan menyambut baik pelaksanaan Pelan Perlindungan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (i-Lindung) yang dilancarkan hari ini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi inisiatif KWSP itu, rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan pelan perlindungan premium dengan harga rendah demi kesejahteraan jangka panjang.

"Ini merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.

"Pelan-pelan tersebut dapat menggantian pendapatan atau simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah.

"Yang paling penting, perlindungan ini boleh diperolehi dengan sumbangan premium yang berjumlah hanya beberapa ringgit sebulan, menerusi syarikat-syarikat insurans serta pengendali takaful yang disediakan di atas platform KWSP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan i-Lindung dalam sebuah majlis di ibu negara pada Selasa.

Tambah Tengku Zafrul lagi, beliau berharap agensi-agensi seperti KWSP dapat meneruskan kejayaan mereka dalam memberi perlindungan sosial kepada rakyat.

Malah kesedaran awam mengenai kewangan jangka masa panjang juga ujarnya, perlu dipertingkatkan.

Mengulas lanjut jelas Tengku Zafrul, menerusi kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hanya 47 peratus daripada populasi dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis perlindungan sosial.

Manakala 2.1 bilion populasi dunia masih tidak dilindungi oleh mana-mana perlindungan sosial, meskipun berdepan risiko kemalangan di tempat kerja.

Malaysia juga jelasnya, turut berdepan situasi sama.

"Kajian oleh National Health and Morbidity Survey (NHMS) pula menunjukkan hampir separuh daripada jumlah rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan tambahan bagi membayar kos perubatan.

"Ini merupakan satu cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia kerana kita semakin hampir untuk mencapai statusnegara menua atau ageing nation seawal tahun 2030," jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya warga tua tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka terutama dalam menampung kos perubatan, ia dijangka membawa kepada beban kewangan ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai pada masa hadapan.