MALAYSIA

ILKBS terajui TVET belia

Ernalisa Othman 20/09/2025 | 04:10 MYT
Erika dan Izzfitri merupakan antara 3,200 graduan ILKBS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada tahun ini.
BANGI: Mereka hadir di tengah masyarakat seperti insan biasa, namun di jiwa mereka tersimpan kekuatan luar biasa.

Golongan orang kurang upaya (OKU) sering dilihat serba sederhana, tetapi hakikatnya mereka membawa anugerah istimewa yang tidak ternilai.

Di sebalik dugaan dan keterbatasan, terselit kisah tekad yang tidak pernah goyah. Nur Erika Balqis Md Ikram Zaki, graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), menanam impian untuk memiliki kedai kek sendiri suatu hari nanti.

Jelas Erika, kekurangan yang dimilikinya tidak sesekali mematahkan semangat untuk bergelar usahawan berjaya.

Anak kedua daripada dua beradik itu juga berterima kasih kepada keluarga serta tenaga pengajar yang tidak pernah membezakan dirinya.

“Bagi saya, semua orang boleh berjaya kalau ada kemahuan. Apa yang penting kita kena kuat dan jangan sesekali rendah diri.

"Selepas ini saya mungkin akan sambung belajar dalam bidang pembuatan kek untuk meluaskan lagi kemahiran saya. Doakan saya dapat buka kedai kek sendiri,” katanya.

Erika yang merupakan remaja autistik turut menegaskan, sepanjang usia remajanya dia tidak pernah mengasingkan diri daripada rakan-rakan.

Malah, tubuh kecil dengan raut wajah manis itu bersyukur kerana sentiasa dikelilingi individu positif.

Seorang lagi graduan, Muhammad Izzfitri Zakaria, pula tekad mahu mencipta nama dalam bidang teknologi dengan kemahiran yang dimilikinya.

Katanya, setiap kejayaan insan istimewa sepertinya pasti disokong oleh tulang belakang yang kuat.

“Status OKU bukan menjadikan saya lemah. Itu semua tiada dalam kamus hidup saya. Jadi orang yang berani hadapi cabaran, Insya-Allah kita boleh berjaya,” katanya.

Erika dan Izzfitri merupakan antara 3,200 graduan ILKBS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada tahun ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam ucapannya pada Istiadat Konvokesyen ILKBS ke-20 Tahun 2025 di Dewan Utama Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini, pada Sabtu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui ILKBS bukanlah pemain kecil dalam landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“KBS adalah antara peneraju utama pendidikan TVET dan kini menganggotai Majlis TVET Negara untuk memastikan suara belia didengar dalam hala tuju dasar kemahiran negara.

“Apa yang lebih membanggakan, ILKBS juga komited untuk menjadi ‘champion’ dalam menyediakan peluang latihan khas buat belia autistik menerusi pelaksanaan Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di beberapa ILKBS terpilih.

“Hari ini kita sudah melihat kisah kejayaan, daripada menjadi artis autistik, usahawan, hinggalah bekerja dalam sektor perkhidmatan,” katanya.


#OKU usahawan berjaya #semangat kental #ILKBS #graduan ILKBS #Hannah Yeoh