MALAYSIA

Imam meninggal dunia ketika pimpin solat Jumaat

Sinar Harian 19/07/2025 | 05:00 MYT
Tangkap layar daripada CCTV merakam Allahyarham Tengku Badri sebelum rebah di masjid tersebut.
RAUB: Seorang imam rebah sebelum meninggal dunia dipercayai terkena serangan jantung ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari, Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, yang juga peneroka Felda, rebah secara tiba-tiba ketika memimpin lebih 300 jemaah dalam rakaat kedua solat Jumaat.

Adik mangsa, Tengku Maznan Tengku Jaafar, 43, memberitahu, abangnya memang memiliki sejarah penyakit lemah jantung.

"Ketika kejadian saya pun menunaikan solat Jumaat di masjid sama.

"Kali terakhir saya jumpa abang pada petang semalam (Khamis) dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," kata anak bongsu daripada 12 beradik itu.

Ujarnya, abangnya merupakan anak kelima dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lembah Klau selepas solat Isyak.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid turut merakam detik sedih itu apabila Allahyarham Tengku Badri kelihatan baru sahaja bangkit dari rukuk sebelum rebah ketika ingin sujud.

Penghulu Mukim Gali 2, Mohd Azmil Harun pula menyifatkan pemergian Allahyarham Tengku Badri sangat mengejutkan, namun disifatkan sebagai satu kematian yang dicemburui kerana berlaku dalam keadaan mulia.

“Arwah pergi ketika sedang memimpin solat Jumaat, dalam keadaan suci, penuh tawaduk di rumah ALLAH.

"Ia satu pengakhiran yang sangat indah, ramai yang terkesan dan sebak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa memiliki sejarah penyakit jantung dan paru-paru kronik.

Menurutnya, kali terakhir mangsa mendapatkan rawatan pada 10 Mac lalu.

"Mangsa rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Lembah Klau yang turut solat di masjid tersebut," katanya. - Sinar Harian



#imam meninggal dunia #Solat Jumaat #kematian dicemburui