Skip to main content

Malaysia

Imam sambilan rakam adik ipar mandi ketika berkumpul sempena Aidilfitri didenda RM8,000

KOTA BHARU - Seorang imam sambilan di sebuah surau dijatuhi denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi pada hari keempat Aidilfitri atau 24 Mac lalu._Sinar Harian
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 12 bulan terhadap tertuduh sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. - Gambar hiasan

KOTA BHARU: Seorang imam sambilan di sebuah surau dijatuhi denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi pada hari keempat Aidilfitri atau 24 Mac lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Advertisement

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja merakam seorang wanita berusia 27 tahun dengan niat mengaibkan kehormatan serta mengganggu kesantunannya.

Kejadian berlaku pada 24 Mac sekitar jam 6.30 petang di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, memohon hukuman setimpal memandangkan mangsa adalah adik ipar tertuduh dan kejadian berlaku ketika keluarga besar berkumpul sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Sebagai imam sambilan di surau, tertuduh sepatutnya menjadi contoh dan bukannya mencemar maruah ahli keluarga sendiri," katanya.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najwa Fahima Mohamad Fadzil, merayu agar hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh sudah insaf serta menanggung isteri, dua anak termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung berlubang, serta ibu yang menghidap diabetes.

Majistret Rais Imran menegur tindakan tertuduh sebagai mencemarkan maruah keluarga, dengan berkata:

"Sebagai individu berpendidikan undang-undang dan imam, tertuduh sepatutnya melindungi maruah keluarga, bukan mengambil kesempatan. Jangan jadi seperti haruan makan anak," katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menemui telefon bimbit yang disembunyikan di atas dinding bilik air ketika mandi.

Pemeriksaan mendapati telefon itu milik tertuduh, lalu mangsa merampasnya sebelum membuat laporan polis bagi mengelakkan rakaman tersebar. - Sinar Harian

Must Watch Video