Iman si badak sumbu terus alami pendarahan, mungkin tidak dapat bertahan

Bernama
Januari 3, 2018 20:00 MYT
Pendarahan yang dialami Iman baru-baru ini adalah serius disebabkan tumor dalam rahimnya. - Gambar Ihsan Jabatan Perhilitan Sabah
Para dokor veterinar bimbang bahawa Iman, satu-satunya badak sumbu betina yang hidup dalam peliharaan di Malaysia, mungkin tidak dapat bertahan lama kerana mengalami pendarahan dalam rahimnya.
Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata pendarahan yang dialami baru-baru ini adalah seriusdisebabkan tumor dalam rahimnya.
"Masalah utamanya ialah akibat pendarahan serius dalam rahim, melecuhkan pendarah mungkin adalah satu-satunya cara untuk menghentikan pendarahan.
"Bagaimanapun, tidak ada pakar yang ada dapat melakukan prosedur itu dan risiko anestetik adalah tinggi," kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Tuuga berkata mempreskripsikan rawatan dikenali sebagai Tranexamic acid, yang berhasil dalam tiga episod pendarahan dalam rahim Iman, diharap membantu pembekuan dan menghentikan pendarahan dalam rahim.
Sejak 14 Dis, Tuuga berkata doktor veterinar membuat pemantauan 24 jam ke atas Iman di Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu dan memberinya makanan dan suplemen berkhasiat tetapi Iman sangat memilih dalam dietnya dan diberi diberi makan sekurang-kurangnya sepuluh spesies tumbuhan.
"Iman memakan kira-kira 40 hingga 50 peratus daripada pengambilan normalnya (12 hingga 17 kg) dan haiwan itu juga diberi tiga hingga empat kilogram buah-buahan terdiri daripada pisang dan mangga.
"Buah-buahan juga digunakan sebagai umpan supaya Iman makan ubat dan dia minum dari bekas air yang disediakan," kata beliau.
Iman dikesan menghidap tumor leiomyoma dalam rahim apabila mula mengalami pendarahan pada 14 Dis.
Iman adalah satu-satunya badak sumbu betina yang hidup di Malaysia selepas kematian Puntung kira-kira enam bulan lalu akibat kanser.
-- BERNAMA
#badak sumbu #Iman #kesihatan #tumor #Veterinar