NATIONAL
Imigresen bongkar sindiket pemalsuan dokumen didalangi dua beranak warga tempatan
Wan Mohammed Saupee berkata modus operandi yang digunakan suspek adalah berhubung dengan pelanggan melalui aplikasi WhatsApp bagi urusan tempahan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur membongkar kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen yang berselindung di sebalik perniagaan menjual jam tangan dan kedai gambar dalam serbuan Op Serkap di sekitar Chow Kit di sini.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata seorang ayah dan anak lelakinya masing-masing berusia 60 dan 34 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 7 malam, hasil risikan selama sebulan dan aduan awam.
"Mereka ini disyaki menawarkan perkhidmatan mendapatkan slip Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS), i-Kad yang dipercayai telah dipinda maklumat asal, i-Kad dan kad CIDB kepada sesiapa yang ingin mendapatkannya terutama warga asing.
"Harga bagi setiap perkhidmatan ditawarkan adalah RM60 hingga RM140 dan tempoh proses siap dalam masa satu hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata modus operandi yang digunakan suspek adalah berhubung dengan pelanggan melalui aplikasi WhatsApp bagi urusan tempahan, termasuk penyerahan dokumen berkaitan, manakala bayaran secara dalam talian atau tunai.
Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi premis yang terletak di kawasan tumpuan warga asing itu turut menarik pelanggan dari luar Lembah Klang melalui rangkaian ejen yang dipercayai turut menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas satu set komputer, mesin juruwang, mesin cetak kad berteknologi tinggi yang mampu mencetak pelekat hologram, kamera litar tertutup, kira-kira 50 keping dokumen palsu termasuk slip PLKS, kad CIDB dan kad pengenalan palsu serta wang tunai RM4,000.
Selain itu, pihaknya turut merampas beberapa dokumen pengenalan diri palsu yang dikeluarkan seolah-olah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti MyKad dan MyKid.
"Ini adalah kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan negara kerana dokumen-dokumen palsu itu boleh digunakan untuk memasuki dan bekerja di negara ini secara haram," katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63, dengan seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod lampau kesalahan imigresen.
Sementara itu, Wan Mohammed Saupee berkata dalam tempoh Januari hingga 20 Mei lepas, JIM Kuala Lumpur melaksanakan 272 operasi, memeriksa 3,587 individu dan menahan 1,789 pendatang tanpa izin.
"Sebanyak 68 majikan turut ditahan, manakala 1,551 kertas siasatan dibuka. Jumlah kutipan kompaun mencecah RM4.59 juta melibatkan pelbagai kesalahan termasuk menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah dan menyalahgunakan pas imigresen," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya menerima permohonan daripada 96 pendatang tanpa izin dan berjaya mengutip RM37,920 termasuk kompaun dan bayaran pas khas melalui Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang kembali dilaksanakan bermula Isnin lepas.
PRM 2.0 dilaksanakan bagi memberi peluang kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah untuk pulang secara sukarela ke negara asal mereka.
-- BERNAMA