PUTRAJAYA: Kutipan hasil yang dijana Jabatan Imigresen melalui pelbagai program termasuk Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, dijangka melebihi RM5 bilion pada tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setakat Rabu lepas, katanya Jabatan Imigresen telah menjana kutipan hasil sebanyak RM4.8 bilion, melebihi sasaran yang ditetapkan pada tahun ini, iaitu RM3.5 bilion.

"Kutipan hasil ini antaranya dijana daripada levi pekerjaan... kita jangka kutipan hasil lebih RM5 bilion kerana program PVIP juga kita telah mulakan.

"Kempen PVIP giat dijalankan di luar negara... ia akan menarik individu berkelayakan datang ke negara untuk jana pendapatan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan pas digital (ePASS) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini hari ini.

PVIP yang dilancarkan Hamzah pada 1 September lepas bertujuan menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun.

Program berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan itu diperkenalkan bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Mengenai pelancaran ePASS hari ini, Hamzah berkata ia merupakan pembaharuan perkhidmatan pas iaitu pengeluaran dalam bentuk pas digital untuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di semua sektor.

"Pengeluaran ePASS ini adalah bagi urusan lanjutan pas sedia ada, manakala pelekat PLKS masih digunakan untuk urusan pas pertama dan urusan lanjutan pas melibatkan pertukaran pasport baharu," katanya.

Beliau berkata pengeluaran ePASS adalah dalam dua bentuk iaitu format dokumen mudah (PDF) yang dimuat naik pengguna peranti digital dan dalam bentuk fizikal untuk dicetak dan dilampirkan bersama-sama pasport.

"Proses ketulenan ePASS boleh dilaksana melalui portal Jabatan Imigresen dengan mengimbas kod QR pada ePASS," katanya sambil menambah permohonan ePASS adalah melalui portal rasmi Jabatan Imigresen.

Menurut Hamzah, sebanyak 57,167 ePASS telah dikeluarkan sejak perkhidmatan ePASS itu tawarkan 6 Sept lepas.

-- BERNAMA