[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
NATIONAL

Imigresen Pulau Pinang serbu medan selera, tahan 37 pendatang tanpa izin

Bernama 17/04/2025 | 14:20 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 37 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah medan selera di Jalan Burma, hari ini.
GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 37 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah medan selera di Jalan Burma, di sini hari ini.

Pengarahnya Nur Zulfa Ibrahim berkata serbuan menerusi Op Bersepadu JIM Zon Utara itu dilaksanakan susulan pihaknya mengesyaki medan selera berkenaan menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan wanita warga Myanmar, masing-masing dua lelaki Bangladesh dan Vietnam serta seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita Indonesia.

"Operasi melibatkan JIM dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Kesemua yang ditangkap berusia 21 hingga 48 tahun.

"Ketika serbuan, semua warga asing itu lari bertempiaran namun gagal meloloskan diri kerana kawasan terbabit telah dikepung anggota penguat kuasa," katanya.

Nur Zulfa memaklumkan kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan tindakan turut diambil terhadap majikan yang mengambil warga asing bekerja di medan selera itu.

-- BERNAMA



#Jabatan Imigresen Malaysia #JIM Pulau Pinang #pendatang tanpa izin #Jalan Burma