KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Sabah telah mengusir 10,388 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak dari tahun 2021 hingga 27 Mac 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah PATI yang diusir pada 2023 menunjukkan angka agak tinggi dengan 1,991 telah diusir dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Statistik jabatan itu juga mendapati sehingga kini terdapat 4,655 PATI yang masih lagi ditahan di empat Depot Imigresen di negeri tersebut.

“Berdasarkan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melibatkan premis perniagaan atau perusahaan, sepanjang tahun 2021, sebanyak 1,076 operasi telah dilaksanakan dengan tangkapan sebanyak 1,881 PATI dan 45 majikan.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah telah melaksanakan 700 operasi, melibatkan tangkapan 1,437 PATI daripada pelbagai negara dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan Imigresen pada tahun 2022.

“Sehingga tahun 2023, terdapat 265 operasi, 487 PATI ditangkap, dua majikan dan 6,405 pemeriksaan dibuat pada tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, jabatan itu akan terus mempergiatkan usaha mengusir PATI ke negara asal dan berunding dengan kerajaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepatkan proses pengusiran.

Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS - Tawau) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan tindakan terhadap PATI di Sabah dalam Sidang Parlimen di sini pada Rabu.