MALAYSIA

Imigresen serbu lokasi pelacuran di ibu negara, 139 warga asing ditahan

Bernama 07/12/2025 | 11:20 MYT
Operasi itu menumpukan kawasan tumpuan warga asing, iaitu Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu dengan keseluruhan 205 individu diperiksa. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 139 warga asing dalam serbuan ke atas 13 premis dipercayai menjadi pusat kegiatan maksiat dan pelacuran di sekitar ibu negara, hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Othman berkata operasi bermula 11.30 pagi itu menumpukan kawasan tumpuan warga asing, iaitu Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu dengan keseluruhan 205 individu diperiksa.

"Warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan terdiri daripada 27 lelaki serta 112 wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun dan berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka.

"Selain itu 20 lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki kapten atau penjaga premis," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Basri berkata perkhidmatan itu ditawarkan pada harga serendah RM60 kepada pelanggan warga asing dan tempatan, dengan wanita tersebut hanya bekerja di situ manakala tempat tinggal disewa di lokasi lain.

Selain itu, siasatan mendapati premis terlibat beroperasi 24 jam sehari menerusi dua syif, iaitu dari 6 pagi hingga 6 petang dan bersambung hingga keesokannya dengan pelanggan boleh datang secara terus tanpa perlu membuat tempahan.

"Pemeriksaan mendapati premis ini telah mengubah suai struktur bangunan dengan membina dinding pemisah secara haram. Kita akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan penguatkuasaan," katanya.

Basri berkata siasatan turut dijalankan untuk memastikan jika semua premis yang menggunakan modus operandi sama itu dijalankan satu sindiket.

Beliau berkata sebuah kereta Nissan Latio dipandu dan membawa penumpang warga asing juga cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan di Jalan Petaling, namun berjaya dipintas pasukan operasi.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Beranang dan Semenyih untuk tindakan lanjut.

Tinjauan Bernama pada operasi itu mendapati premis rumah kedai terlibat suram, kotor dan terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

-- BERNAMA


#sindiket pelacuran kuala lumpur #pelacuran di kuala lumpur #warga asing jadi pelacur #jabatan imigresen