[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

Imigresen tahan 11 warga China, bongkar operasi pusat judi dalam talian

Bernama 12/10/2025 | 04:52 MYT
Anggota JIM Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berumur 20 hingga 40 tahun. - Gambar/ JIM
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) membongkar pusat operasi perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik kediaman mewah, menerusi penahanan 11 warga China dalam operasi khas di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Jabatan Imigresen Malaysia menahan 11 warga China dalam serbuan ke atas pusat perjudian dalam talian yang berselindung di kediaman mewah di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.
  • Aktiviti perjudian disasarkan ke pasaran luar negara menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp, dengan rampasan termasuk komputer riba, telefon bimbit, pasport China dan wang tunai RM3,900.
  • Kesemua individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen sah dan penyalahgunaan pas lawatan sosial, serta dibawa ke Putrajaya untuk siasatan lanjut.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi pada 3.50 petang itu anggota JIM Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berumur 20 hingga 40 tahun.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis kediaman mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh warga China yang menyasarkan pasaran luar negara.

"Aktiviti ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk tujuan promosi dan komunikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan awal mendapati dua lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), lima lelaki lagi telah tinggal lebih masa manakala tiga lelaki dan seorang wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menyita tujuh pasport China, 11 unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, tiga unit set komputer dan wang tunai sebanyak RM3,900," katanya.

Zakaria berkata kesemua mereka kini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan antaranya di bawah Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua warganegara asing dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA




#JIM #warga china #judi dalam talian #rumah mewah