Skip to main content

Malaysia

Imigresen tahan 29 pendatang tanpa izin dalam operasi di Kuala Muda, Kota Setar

FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah
Menurut JIM Kedah, ketika serbuan dijalankan di sebuah tapak pasar malam di Sungai Petani, beberapa majikan didapati cuba melindungi warga asing yang bekerja dengan mereka. - Gambar Facebook JIM Kedah
Advertisement

SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 29 pendatang tanpa izin menerusi Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Gegar yang dijalankan di daerah Kuala Muda serta Kota Setar.

JIM Kedah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan operasi dua hari bermula semalam itu membabitkan pemeriksaan di empat premis, yang menyaksikan seramai 124 individu diperiksa iaitu 81 warga tempatan dan 43 warga asing.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 warga asing terdiri daripada 19 lelaki dan 10 perempuan berusia antara 20 hingga 50 tahun telah ditahan.

“Mereka terdiri daripada 10 warga Vietnam, lapan warga Bangladesh, enam warga Thailand, empat warga Myanmar serta seorang wanita warga Laos yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.

JIM Kedah memaklumkan operasi disertai 19 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan itu memberi tumpuan kepada lokasi panas yang disyaki menggajikan dan melindungi warga asing tidak sah.

Menurut JIM Kedah, ketika serbuan dijalankan di sebuah tapak pasar malam di Sungai Petani, beberapa majikan didapati cuba melindungi warga asing yang bekerja dengan mereka.

“Majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bertindak menjerit memberi amaran kepada pekerja terbabit supaya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Bagaimanapun, tindakan pantas, kepungan yang tersusun dan kecekapan anggota operasi berjaya menggagalkan cubaan itu sekali gus membawa kepada penahanan kesemua individu yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 10 Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) dikeluarkan bagi membantu siasatan manakala warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement