ALOR SETAR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 630 warga asing dalam serbuan Ops Mega di sebuah tapak pembinaan kilang pembuatan bateri di Padang Meha, dekat Kulim, semalam.
Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata operasi bermula pada 11 pagi itu disertai 159 anggota jabatan dari Putrajaya, Kedah, Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM.
βIni serbuan kali kedua di lokasi itu hasil maklumat risikan dan pemantauan menyeluruh oleh pihak imigresen terhadap kawasan pembinaan seluas hampir 500,000 meter persegi.
βSecara keseluruhan, sebanyak 697 individu termasuk rakyat Malaysia diperiksa. Mereka yang ditahan ialah pekerja kontrak dan dipercayai digaji oleh subkontraktor,β katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 622 lelaki dan lapan wanita berusia 18 hingga 50 tahun dan jumlah itu menjadi tangkapan warga asing terbesar di satu lokasi di Kedah dalam tempoh 10 tahun.
Beliau berkata warga China paling ramai ditahan, iaitu 396 orang diikuti Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang warga New Zealand dan Senegal.
βTangkapan kali ini agak berbeza kerana kita turut menahan warga asing dari Ghana, Nigeria, Kenya dan Senegal yang jarang ditemui bekerja di tapak pembinaan,β katanya.
Mohd Ridzzuan berkata kesemua mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
βSemasa operasi, ada warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko tinggi termasuk memanjat bumbung bangunan yang belum siap,β katanya.
Selain itu, JIM turut mengeluarkan enam saman kepada saksi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan meminta majikan, kontraktor utama serta subkontraktor untuk memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja memiliki dokumen perjalanan serta pas atau permit yang sah.
-- BERNAMA