PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan sindiket membekal wanita warga asing bagi tujuan khidmat seks, selepas menahan 72 orang warga asing dalam satu operasi khas melibatkan lima serbuan di sekitar Kuala Lumpur Khamis lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya terlibat dalam operasi bermula pukul 9 malam di sekitar Cheras dan Kepong itu, yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan.

"Turut ditahan tujuh lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'kapten' dan penjaga premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan dalam serbuan di lima premis itu terdiri daripada 43 wanita warga Vietnam, 15 wanita Indonesia, enam wanita Thailand, empat lelaki Vietnam, tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki India berusia 25 hingga 42 tahun.

Katanya berdasarkan pemeriksaan awal kebanyakan warga asing itu melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh serta salah guna pas, dan semua wanita yang ditahan pula dipercayai menyediakan perkhidmatan seks.

Ruslin berkata turut dirampas ialah 48 pasport Vietnam yang berada di premis berkenaan, sebuah kenderaan SUV berwarna kelabu yang dipercayai digunakan untuk menghantar wanita kepada pelanggan, dan wang tunai RM6,275 dipercayai hasil bayaran kepada khidmat seks.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi di premis perniagaan tiga tingkat dengan menjadikan tingkat satu sebagai tempat tinggal manakala tingkat dua dan tingkat tiga sebagai tempat khidmat seks.

Katanya sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama dua tahun dengan mengiklankan perkhidmatan mereka menerusi pelbagai platform termasuk Whatsapp dan Telegram, dengan kata laluan diberikan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks, bagi membolehkan mereka masuk ke dalam premis berkenaan.

"Tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis, dan pelanggan diberikan pilihan mengikut kategori bilik dan jumlah jam tempahan," katanya dan menambah bagi tempahan wanita warga asing bayaran dikenakan RM230 bagi tempoh sejam.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007(ATIPSOM).

Sementara itu Ruslin berkata 20 lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di premis berkenaan telah dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA