Imigresen tubuh pasukan khas siasat penemuan RM13.04 juta di Sabah

Bernama
November 25, 2017 08:01 MYT
MUSTAFAR berkata pihaknya akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat penemuan wang tunai RM13.04 juta di Sabah semalam. - Gambar fail
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat penemuan wang tunai RM13.04 juta di Sabah semalam.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pasukan itu akan menyelaraskan siasatan dengan JIM Sabah untuk memastikan semua aspek diteliti.
"Wang ini telah dijumpai ketika pihak JIM Sabah melakukan 'Op Gegar' di sebuah hotel di Kota Kinabalu yang pada mulanya hanya menahan 21 individu tetapi turut menjumpai wang tunai RM11.88 juta di situ.
"Siasatan lanjut menemukan RM1.16 juta lagi di pangsapuri milik seorang daripada yang ditahan, tidak jauh dari lokasi serbuan," katanya pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 4/2017 di Akademi Imigresen Malaysia, dekat sini hari ini.
BACA: Sabah: RM11 juta ditemui ... Milik siapa?
BACA: Selain penemuan RM11 juta, 19 individu ditahan dalam Op Gegar
Mengulas lanjut, Mustafar berkata operasi tersebut turut menyaksikan 17 wanita Filipina berusia lingkungan belasan tahun hingga 30-an ditahan, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang didalangi tiga lelaki tempatan.
Beliau berkata selain Akta Imigresen, kes terbabit turut melibatkan Kanun Prosedur Jenayah serta Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
-- BERNAMA
#Filipina #haram #hotel #Imigresen #jenayah #keganasan #Kota Kinabalu #lelaki #mangsa #Mustafar Ali #Op Gegar #operasi #siasatan #sindiket #wanita