Jabatan Imigresen harus menerima maklumat lanjut mengenai seorang lelaki warga Jepun yang ditemui mati tergantung di dalam lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya, sebelum mereka boleh mengkaji dan menjelaskan aktiviti keluar masuknya ke negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata jabatannya kini sedang menunggu maklumat lanjut mengenai Nobuhiro Matshushita.

“Kami sedang mendapatkan maklumat dari pihak polis yang menahannya sebelum ini,” kata beliau kepada Astro AWANI.

Sementara itu, kedutaan Jepun memaklumkan telah menghubungi keluarga Nobujiro di Jepun dan sedang berusaha untuk membawa mereka ke Malaysia.

“Kami sudah pun mengambil langkah yang berpatutan untuk membawa mereka ke Malaysia. Langkah ini sedang dilakukan,” kata seorang pegawai dari kedutaan itu.

Walaubagaimanapun, beliau tidak memberi maklumat lain kerana ingin menghormati anggota keluarga.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan berkata tiada rekod yang menunjukkan Nobuhiro telah memasuki negara ini dan tinggal di sini sebelum dia ditemui mati.

Thaiveegan berkata Jabatan Imigresen harus menjelaskan aktiviti keluar masuk Nobuhiro.

Beliau turut berkata bahawa beliau mengharapkan keluarga Nobuhiro akan memberi maklumat tentangnya.

Keluarganya dijangka tiba di Malaysia pada minggu hadapan.

Pada Ahad lepas, Nobuhiro ditahan kerana membuat ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada polis bantuan yang ingin menahannya kerana menceroboh sebuah setor di Monash University, Bandar Sunway.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan dan polis menahan remannya mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan di bawah 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh sehingga 17 Jun depan.

Thaiveegan berkata lelaki tersebut sebelum itu diletakkan di sel tahanan yang lain sebelum diasingkan kerana dikatakan mengganggu tahanan yang lain.

Beliau juga berkata pihakpPolis sedang menunggu laporan penuh daripada pakar patologi.

“Bila sudah diterima, kita akan serahkan fail siasatan atau laporan mati mengejut ini kepada Peguam Negara untuk arahan selanjutnya," katanya.