HULU LANGAT: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk merangka strategi khusus mendepani kesan kenaikan harga minyak global terhadap sektor makanan negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata meskipun laluan logistik import makanan negara tidak terjejas secara langsung akibat konflik di Asia Barat ketika ini, ketidaktentuan harga minyak dunia dijangka tetap memberi impak terhadap rantaian bekalan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Advertisement
"...masalah harga minyak dan sangkut pautnya itu ia memberi kesan bukan sekarang ini, kemungkinan beberapa bulan yang akan datang. Kita akan dengar nasihat dan pandangan Kementerian Kewangan, Ekonomi dalam merangka strategi pada waktu itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Langek Kacau Dodol MADANI 101 Kawah di Padang Stadium Mini Pekan Batu 14, di sini, malam tadi.
Terdahulu, Mohamad berkata KPKM akan menganalisis semula stok bekalan makanan negara selepas Mei depan, susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata ketika ini bekalan makanan asas seperti beras, ayam serta sayur-sayuran berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei, dan rakyat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik.
Sementara itu, dalam mendepani sebarang kemungkinan gangguan terhadap rantaian bekalan makanan, Mohamad berkata kerajaan akan cuba menyalurkan bantuan benih tanaman bagi menyokong amalan kelangsungan sara diri rakyat.
"Ini supaya kita dapat sara diri, dan kalau boleh juga membantu rakan-rakan yang lain. Ini kita bukan keadaan panik apa-apa, hanya sebagai normal practice (amalan normal) supaya pokok-pokok bunga yang ada itu apa salahnya ditukar kepada pokok-pokok sayuran.
"Itu sebenarnya kalau keadaan itu berlaku dapatlah membantu sedikit sebanyak, kerana ia juga pernah dilaksanakan dulu rancangan 'Buku Hijau' di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dulu,” katanya.
Dasar Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan pada 20 Dis, 1974 itu merupakan inisiatif bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pertanian dan penternakan, terutamanya tanaman jangka pendek, bagi mengurangkan kebergantungan import serta menangani kenaikan harga barang.
-- BERNAMA