MALAYSIA
Implikasi jika tidak tangguh kenaikan tol, tarif elektrik baharu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung 24 hari hingga 28 Ogos ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas, antara isu yang menjadi tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) bertanyakan Menteri Komunikasi mengenai prosedur siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap aduan berkait kenyataan di media sosial.
Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan matlamat jadual tarif elektrik baharu dalam mencapai agenda peralihan tenaga dan kemampanan jangka panjang negara serta penjelasan dakwaan tarif baharu itu membebankan rakyat.Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) bertanyakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai status semasa program Wakaf Air yang dilancarkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk memasukkan program berkenaan secara rasmi ke dalam Pelan Induk Sumber Air Negara atau Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Turut menjadi perhatian, isu kebajikan golongan warga emas yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung langkah dan usaha memperkenalkan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi melindungi warga emas daripada pengabaian dan penderaan dalam kalangan ahli keluarga.
Usai sesi berkenaan, mesyuarat Dewan Rakyat dijadual diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung 24 hari hingga 28 Ogos ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami