Imuniti kelompok hampir tercapai, tiada alasan tidak pamer prestasi baik - Masrizal
Israr Khalid
Ogos 27, 2021 23:31 MYT
Ogos 27, 2021 23:31 MYT
Kuala Lumpur: Tiada alasan untuk barisan Kabinet baharu tidak dapat mempamer prestasi cemerlang dalam tempoh 100 hari yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad, berkata ia susulan imuniti kelompok yang hampir tercapai, sekali gus membolehkan mereka turun padang menyelesaikan krisis rakyat dengan lebih dekat dan cepat.
Katanya, tidak seperti Kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pergerakan mereka terbatas kerana tahap imunisasi masih rendah, keadaan selepas ini lebih mengizinkan untuk gerak kerja yang lancar.
Imuniti kelompok hampir tercapai, tiada alasan untuk tidak pamer prestasi baik - Dr. Masrizal
“Untuk berlaku adil kepada Kabinet terdahulu, keadaan kita berada dalam krisis pandemik COVID-19 ini menyebabkan kita terhad segala-galanya.
“Tapi dalam konteks ini, saya fikir kita menjangkakan imuniti kelompok akan dapat dicapai dalam tempoh terdekat, mungkin bulan Oktober ini paling awal atau bulan November.
“Maka saya kira tidak ada lagi alasan oleh mana-mana ahli Kabinet, yang memegang kementerian sama ada menteri atau timbalan menteri untuk tidak bersama dengan rakyat dan membantu mereka sebaik mungkin," katanya.
Justeru, Masrizal berpendapat cabaran 100 hari yang dilontarkan oleh Perdana Menteri itu adalah realistik dalam memastikan negara dapat segera keluar daripada krisis yang meruncing dan kembali membina landasan menuju kejayaan.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar pada Jumaat.
Agenda AWANI: 100 hari buktikan pencapaian