KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang masih melanda negara turut memberi kesan kepada pengurusan kanser paru-paru di banyak hospital, baik dari segi saringan kepada diagnosis hinggalah kepada rawatan.

Memandangkan hospital di seluruh negara terpaksa menangguhkan atau membatalkan prosedur perubatan tertentu kerana pengendalian kes COVID-19, keadaan ini pastinya mengganggu penjagaan pesakit kanser.

Dalam situasi ini, pesakit kanser secara umumnya dan mereka yang menderita kanser paru-paru sudah tentu akan menanggung akibat kerana keadaan diri mereka serta penjagaan yang diperlukan, terjejas.

Bagaimanapun, Naib Presiden, Rangkaian Kanser Paru-Paru Malaysia, Dr Tho Lye Mun berkata, dalam zaman kemajuan serta inovasi perubatan, kanser bukan lagi satu hukuman mati memandangkan terdapat pendekatan inovatif untuk rawatan kanser.

"Dengan mengkaji setiap pesakit secara teliti, kami boleh mengenal pasti rawatan yang sesuai untuk setiap pesakit dan tidak lagi mengambil pendekatan trial-and-error," kata beliau pada forum media maya mengenai 'No Patient Left Behind: Improving Lung Cancer Care in Malaysia', anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) baru-baru ini.

"Sebagai contoh imunoterapi. Ia adalah cara inovatif baharu untuk menggunakan sistem imun pesakit bagi melawan kanser, " tambahnya.

Menurut Dr Tho, terdapat kajian yang menunjukkan pesakit yang menerima imunoterapi mempunyai kadar kelangsungan hidup sebanyak 32 peratus dalam tempoh lima tahun jika menerima rawatan imunoterapi.

"Ini menunjukkan perubahan paradigma, dan bukan setakat itu sahaja, pesakit berkenaan juga mampu mengekalkan kehidupan yang berkualiti dan hidup bertahun-tahun lamanya di samping keluarga dan orang tersayang.

"Ubat-ubatan tertentu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi tetapi anda mungkin dapat manfaat jangka panjang, " tambahnya.

Dr Tho yang mengakui bahawa akses kepada imunoterapi mungkin terhad, menyeru sektor awam dan swasta untuk berganding bahu serta membuat "penilaian yang bersungguh-sungguh" mengenai manfaat kos bagi setiap rawatan.

Ini, katanya, adalah untuk memastikan setiap rawatan boleh memanjangkan umur, tetapi bukan mengorbankan kualiti kehidupan.


DIAGNOSIS LEWAT

Menurut Kajian Malaysia Mengenai Kelangsungan Hidup Kanser (MySCan), kelangsungan hidup untuk tempoh lima tahun bagi pesakit kanser paru-paru adalah hanya 11 peratus berbanding kanser prostat (73 peratus) sementara kanser payudara, 67 peratus.

"Faktor utama untuk keadaan ini adalah diagnosis lewat. Kira-kira 80 peratus pesakit kanser paru-paru didiagnos pada tahap empat, yang berbeza sungguh berbanding kanser payudara yang kebanyakannya didiagnos pada tahap awal.

"COVID-19 adalah penyebab utama kepada diagnosis lewat kanser di Malaysia, memandangkan kemudahan kesihatan awam terpaksa digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, " tambah Dr Tho, yang juga ahli onkologi klinikal.

"Pembedahan elektif yang perlu dirujuk kepada hospital lain ditangguhkan dan sudah tentunya, unit kanser yang sedia menghadapi banyak tekanan.

"Kebanyakan kes yang tidak didiagnos mempunyai akses yang lewat untuk biopsi dan imbasan diagnostik," keluh beliau.

Dr Tho berkata, mesipun ada pesakit kanser yang dimasukkan ke hospital swasta untuk mengurangkan beban kemudahan penjagaan kesihatan awam, pesakit berkenaan masih kekal sebagai 'minoriti' kerana kebanyakan mereka masih tidak mendapat akses kepada platform rawatan yang betul.

"Pesakit kanser atau pesakit yang mempunyai gejala kanser di hospital, mungkin enggan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang dijangkiti COVID-19.

"Pada pandangan saya, dalam beberapa hal, keadaan ini mungkin menyebabkan kelewatan untuk mengesan serta merawat kanser pada tahap awal, " katanya, sambil menambah, antara gejala awal kanser paru-paru ialah batuk yang berterusan, batuk berdarah, hilang berat badan, sakit dada dan jangkitan paru-paru yang berulang.

Menurut beliau, laporan Daftar Pesakit Kanser Kebangsaan (NCPR) mungkin tidak menyatakan kesan COVID-19 ke atas pesakit kanser untuk beberapa tahun akan datang kerana data ini dibentangkan setiap lima tahun sekali.

"Kemungkinan lebih ramai pesakit yang menunjukkan kepada kami penyakit yang lebih advance berbanding yang kami lihat sebelum berlaku wabak COVID-19, " katanya.

Sementara itu, pengarah perubatan NCSM, Dr M. Murallitharan berkata, epidemik semasa adalah penghalang utama untuk pesakit kanser yang pesakit yang berpotensi menghidap kanser mendapat akses kepada perkhidmatan hospital agar dapat didiagnos lebih awal.

"Pembedahan hampir tiada langsung di kebanyakan hospital kerajaan pada masa ini, kerana semua bilik pembedahan digunakan sebagai unit rawatan intensif bagi kes COVID-19.

"Sekiranya mereka tidak buka kembali bilik pembedahan, mungkin tidak ada peluang untuk merawat dan mengawal tahap kanser paru-paru dan keadaan pesakit terhenti di situ, " katanya.

Menurut Dr Murallitharan, semasa pandemik COVID-19, kekeliruan mungkin timbul antara gejala awal kanser paru-paru dengan gejala COVID-19 yang mungkin menyumbang kepada diagnos lewat kanser paru-apru.

"Gejala kanser paru-paru mungkin serupa dengan COVID-19, jadi mereka membuat ujian polymerase chain reaction (PCR) dan bila kesannya negatif, mereka berasa gembira dan tak buat apa-apa lagi.

"Tapi ia mungkin gejala kanser paru-paru dan mungkin tiga atau empat tahun akan datang, mereka akan melihat diagosis lewat (kanser paru-paru) . Kita mungkin terpaksa menangani keadaan ini untuk beberapa tahun, " katanya.


PERKONGSIAN AWAM-SWASTA

Bagaimanapun, menurut Dr Murallitharan, tidak ramai pesakit akan mendapat manfaat daripada rawatan inovatif, seperti imunoterapi di Malaysia kerana kos yang tinggi serta sumber yang terhad dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Hanya mereka yang mempunyai liputan insurans yang baik serta diirawat di hospital swasta akan mendapat akses kepada rawatan seumpama ini, tetapi di hospital kerajaan, aksesnya terhad dan sebahagian besarnya kerana isu kewangan," katanya.

Ketua Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, lewat berjumpa doktor bukan sahaja menghalang pesakit kanser daripada mendapat rawatan yang berkesan tetapi juga mengehadkan pilihan rawatan dalam ketika penyakit mereka mula merebak.

Menurut beliau, sektor awam perlu melabur dalam rawatan inovatif kanser memandangkan 70 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada sistem kesihatan awam.

Sebagai contoh, beliau berkata, semasa pandemik, kedua-dua sektor kesihatan awam dan swasta bekerjasama melawan penularan COVID-19 dengan meminimumkan birokrasi dan berkongsi sumber.

"Untuk kita bergerak ke hadapan, kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki cara membiayai sistem penjagaan kesihatan kita dan memastikan semua orang membuat sumbangan dan semua boleh mendapat manfaat.

"Untuk itu, sektor kesihatan awam dan swasta jangan menjadi dua sistem yang bersaing antara satu sama lain. Kedua-duanya perlu bekerjasama untuk menangani jurang dalam perkhidmatan yang disediakan, " katanya.

-- BERNAMA/Melati Mohd Ariff