MALAYSIA
Indeks Harga Pengeluar Malaysia susut 4.2 peratus pada Jun 2025 - DOSM

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan penurunan sederhana 0.3 peratus berbanding 1.8 peratus pada Mei 2025, dengan indeks pengeluaran ternakan susut sebanyak 2.9 peratus. - Gambar DOSM
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus menurun 4.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Jun 2025, selepas susut 3.6 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor mencatatkan penurunan tahun ke tahun pada bulan lalu, dengan sektor perlombongan dan pembuatan menjadi penyumbang utama kepada trend negatif bagi keseluruhan indeks.
Sektor perlombongan merosot 8.0 peratus selepas penyusutan 15 peratus pada Mei 2025, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pengekstrakan gas asli (-12.0 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-6.7 peratus).
Pada masa yang sama, sektor pembuatan susut 4.3 peratus (Mei 2025: -3.0 peratus), disumbangkan oleh penurunan ketara dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-17.7 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-7.8 peratus), katanya dalam satu kenyataan hari ini.Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan penurunan sederhana 0.3 peratus berbanding 1.8 peratus pada Mei 2025, dengan indeks pengeluaran ternakan susut sebanyak 2.9 peratus.
Bagi sektor utiliti, kedua-dua bekalan elektrik dan gas serta bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.2 peratus pada bulan lalu.
Pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan 0.7 peratus pada Jun 2025, selepas susut 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, kata Mohd Uzir.
"Sektor pembuatan menurun 1.2 peratus (Mei 2025: -0.5 peratus) disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-4.2 peratus) serta pembuatan produk makanan (-3.0 peratus)," katanya.
Begitu juga dengan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan penurunan 1.0 peratus (Mei 2025: -5.4 peratus), dipengaruhi oleh kemerosotan dalam indeks penanaman tanaman kekal (-1.2 peratus) dan pengeluaran ternakan (-0.8 peratus).
Sebaliknya, sektor perlombongan meningkat 4.6 peratus, pulih daripada penyusutan 2.3 peratus pada Mei 2025, didorong oleh pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat sebanyak 7.0 peratus.
Sementara itu, indeks bekalan air meningkat marginal 0.2 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.2 peratus pada Jun 2025.
IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan 3.7 peratus pada suku kedua 2025 berbanding penurunan 0.3 peratus pada suku pertama 2025.
Sektor perlombongan merosot 13.7 peratus, diikuti oleh sektor pembuatan (-3.4 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (-0.6 peratus).
Bagaimanapun, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus dan 0.2 peratus.
Sementara itu, berdasarkan perbandingan suku ke suku, IHPR mencatatkan penurunan 2.3 peratus,berbanding peningkatan 1.0 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya disebabkan oleh penguncupan dalam sektor-sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, perlombongan serta pembuatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami