Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mewujudkan indeks inovasi dan kreativiti sebagai satu panduan untuk mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau berkata indeks itu akan menjadi satu daripada teras untuk memartabatkan Malaysia sebagai antara 20 negara terbaik di dunia dalam jangka masa panjang.

Inovasi dan kreativiti amat penting untuk mana-mana organisasi, syarikat atau negara agar tidak ketinggalan di dunia yang semakin kompetitif, katanya pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) dan Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2016 di sini, malam tadi. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Memberikan contoh, Najib berkata syarikat telefon gergasi suatu ketika dahulu, Nokia dipintas dan kini pasaran telekomunikasi dikuasai smartphone seperti Apple, Samsung dan Huawei.

Beliau berkata ini menunjukkan hanya syarikat yang mengamalkan inovasi akan berjaya dalam persaingan yang kompetitif.

"Begitu juga bagi sebuah kerajaan, kita terpaksa laksanakan penyampaian kerajaan dengan baik dan lebih berkesan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

"Dalam keadaan kekangan kewangan berikutan faktor-faktor luaran, kita terpaksa menerima hakikat. Kita jangan mengeluh dan menuding jari sebaliknya anggap sebagai satu cabaran untuk kita. Bagaimana kita boleh lakukan lebih banyak lagi dengan kekurangan (sumber).

"Di sini terletaknya kemampuan kita membudayakan inovasi dalam organisasi kita, saya yakin kita boleh lakukan lebih banyak dengan kekurangan (sumber)," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata AIPM dan AISA mendorong sektor awam terus membudayakan inovasi.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Melaka diumumkan sebagai pemenang APIM dengan membawa pulang RM1 juta dan trofi yang disampaikan oleh Najib kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Tempat kedua APIM dimenangi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menerima RM300,000 dan sijil manakala tempat ketiga menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima RM200,000 dan sijil.

Bagi AISA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memenangi Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi manakala Majlis Perbandaran Ampang Jaya memenangi Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan.

Sementara Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman merupakan pemenang tunggal bagi Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Pemenang setiap kategori AISA menerima RM150,000 bagi tempat pertama, RM100,000 bagi tempat kedua dan RM50,000 bagi tempat ketiga berserta trofi dan sijil penghargaan. -- Bernama