Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 di tahap sederhana

Bernama
Februari 28, 2017 22:13 MYT
ROHANI: IKK 2016 berada di tahap sederhana dengan mencatatkan nilai skor 7.33 daripada skala maksimum 10. - Gambar fail
Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2016 berada di tahap sederhana dengan mencatatkan nilai skor 7.33 daripada skala maksimum 10, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian mencatatkan skor domain tertinggi daripada lapan domain yang terdapat dalam IKK 2016 iaitu 8.04, yang dikategorikan dalam tahap tinggi, katanya.
Ia diikuti oleh domain Keselamatan Keluarga (7.96), Hubungan Kekeluargaan (7.90), Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (7.84), Kesihatan Keluarga (7.18), Ekonomi Keluarga (7.05), Keluarga dan Teknologi Komunikasi (6.38), dan Perumahan dan Persekitaran (6.24), katanya.
"Penghasilan IKK setiap tiga hingga lima tahun perlu dilaksanakan supaya ia dapat dijadikan panduan dan input penting kepada para penggubal dasar, perancang dan pengurus program untuk menilai sejauh mana tahap kesejahteraan hidup keluarga di Malaysia dan membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya," katanya.
Rohani berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 yang diadakan di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini hari ini.
IKK 2016 yang bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia dibangunkan dengan penambahbaikan dan pengemaskinian terhadap domain dan indikator.
Rohani berkata tindakan dan langkah yang bersesuaian ke atas setiap domain dan indikator dalam IKK 2016 perlu direncanakan dengan baik oleh semua pihak supaya pencapaian indeks pada masa akan datang dapat dipertingkatkan.
Bagi meningkatkan Indeks Kesejahteraan Keluarga yang kini berada pada tahap sederhana, Rohani berkata kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) bagi 14 komuniti terpilih di seluruh negara bermula tahun lepas.
"Program yang dibentuk berasaskan Domain dan Indikator IKK 2016 ini perlu diperluaskan lagi di komuniti-komuniti lain. Kita akan bekerjasama dengan agensi dan komuniti yang lain dalam usaha melaksanakan program FACE ini supaya kesejahteraan keluarga tercapai," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Rohani Abdul Karim #face #IKK #LPPKN #MaGIC