KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini bersetuju agar Jabatan Perangkaan (DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen, berkata indikator tersebut adalah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.

Beliau berkata NACCOL juga membincangkan secara terperinci beberapa perkara berkaitan kos sara hidup rakyat khususnya isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara.

"Beberapa mekanisme jangka pendek telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau turut menekankan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih.

"Dalam hal ini, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah melancarkan pemeriksaan khas di bawah Op Kesan bermula 1 Mac lepas bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya," kata beliau.

-- BERNAMA