MALAYSIA

Individu hadir Mesyuarat Kabinet, Bersatu perlu dikuarantin - Najib

Hasimi Muhamad 12/01/2021 | 10:26 MYT
Ini kerana, jelas bekas Perdana Menteri itu, individu berkenaan perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya sehingga 17 Januari ini - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR:Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan semua individu yang hadir Mesyuarat Kabinet dan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada 6 dan 7 Januari lalu tidak dibenarkan menghadiri mana-mana acara awam atau mesyuarat secara fizikal.

Ini kerana, jelas bekas Perdana Menteri itu, individu berkenaan perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya sehingga 17 Januari ini.

"Tempoh inkubasi COVID-19 adalah antara 10 hingga 14 hari.

"Ini bermakna semua yang hadir dalam kedua-dua mesyuarat tersebut perlu kuarantinkan diri sekurang-kurangnya sehingga 17 Januari setelah tidak kurang daripada tiga orang hadirin didapati positif COVID-19," katanya dalam entri di laman Facebook, pada Selasa.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, tindakan perlu diambil tanpa wujud 'double-standards' bagi mengelakkan berlaku Kluster Kabinet.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan semua menteri Kabinet telah menjalani ujian saringan COVID-19, dengan tiga daripadanya disahkan positif.

BACA: Semua menteri Kabinet jalani ujian saringan COVID-19, tiga positif

BACA: Hamzah Zainudin positif COVID-19

Mereka yang disahkan positif masing-masing Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
#Mustapa Mohamed #Najib Razak #KKM #Facebook #kesihatan #Kementerian Kesihatan #Kluster Kabinet #COVID-19