JAKARTA: Indonesia mengerahkan hampir 17,000 anggota bagi memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan ketika jerebu tebal mengancam kesihatan awam, manakala jarak penglihatan terhad menjejaskan operasi pemadaman kebakaran dari udara.
Pemangku Ketua Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton Panjaitan berkata seramai 4,686 anggota dikerahkan di Kalimantan Tengah dan 12,285 di Sumatera Selatan, dua wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi pemadaman kebakaran.
"Operasi di darat diberikan keutamaan berbanding operasi udara berikutan jarak penglihatan yang terhad sehingga menjejaskan operasi pengeboman air menggunakan helikopter," kata beliau dalam satu kenyataan.
Berton berkata setakat 13 Okt, operasi pemadaman meliputi kawasan seluas 521.69 hektar di Kalimantan Tengah, termasuk kawasan dalam Taman Negara Tanjung Puting dan Kabupaten Seruyan.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan memaklumkan jumlah titik panas di enam wilayah meningkat hampir dua kali ganda kepada 294 setakat 9 malam Rabu, berbanding 148 sehari sebelumnya, manakala jumlah keseluruhan di seluruh negara meningkat kepada 372.
Kalimantan Tengah merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 130, diikuti Sumatera Selatan (91), Kalimantan Barat (59), Jambi (sembilan) dan Kalimantan Selatan (lima), manakala Riau tidak mencatatkan sebarang titik panas.
Pemantauan kualiti udara terus menunjukkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah serta beberapa kawasan di Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.
Di Sumatera Selatan, kerajaan dijadual menguji kaedah penyebaran 1.5 tan ais kering di ruang udara Palembang pada Khamis bagi mengurangkan jerebu tebal menggunakan teknik yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Thailand, lapor agensi berita Antara.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Dudung Abdurachman berkata Presiden Prabowo Subianto mengarahkan ujian itu dilaksanakan dengan matlamat meningkatkan jarak penglihatan daripada kira-kira 1,000 meter kepada 5,000 meter.
Kaedah berkenaan boleh diperluas ke wilayah lain yang terjejas sekiranya terbukti berkesan.
Dalam perkembangan berasingan, Berton berkata misi pemadaman kebakaran oleh Jepun di Kalimantan berakhir pada 29 Sept selepas melengkapkan tempoh penugasan selama 14 hari seperti yang dipersetujui.
Beliau berkata Jepun telah memaklumkan secara rasmi kepada Indonesia mengenai tamatnya misi itu serta menyerahkan laporan operasi.
Berton turut menjelaskan bahawa sebarang tawaran bantuan antarabangsa perlu dikemukakan melalui saluran rasmi kerajaan dengan memperincikan jumlah anggota, peralatan dan tempoh penugasan.
-- BERNAMA