JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok (Isnin) bakal menyentuh 12 perkara.

Walaupun tidak mendedahkan 12 perkara itu, fokus perbincangan antara lain dijangka mengukuhkan lagi hubungan serumpun dan strategik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

“Pertama, Indonesia merupakan jiran serumpun dan sahabat sejati walaupun dalam keadaan saya terlempar dan disisih, dan Indonesia tetap terima saya sebagai sahabat sejati.

“Maka, Malaysia akan memberikan keutamaan dalam hubungan dua hala dengan Indonesia,” jawab Anwar secara ringkas ketika ditanya oleh wartawan Indonesia sempena lawatan sulungnya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar memulakan lawatan sulungnya hari ini dengan menghadiri majlis pertukaran MOU dan surat niat (LOI) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia.

Fokus terarah kepada kerjasama kedua-dua negara dalam pembangunan Ibu Kota Negara Nusantara.

Awal tahun lalu, Kementerian Luar Indonesia telah mengedarkan nota diplomatik agar semua kedutaan asing di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara dalam tempoh 10 tahun.

Langkah ini menyaksikan 105 pejabat misi diplomatik di sana kena dipindahkan paling lewat 2034 selepas IKN tersebut yang terletak di Wilayah Kalimantan Tengah itu dibuka.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, lapan memorandum persefahaman juga akan dimeterai ketika sesi kunjungan Anwar ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor.

Sepanjang tahun lalu, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar di peringkat ASEAN.

Pertemuan Anwar-Jokowi juga bakal menyentuh strategi bersama bagi melawan kempen anti minyak sawit Malaysia dan Indonesia di pasaran Kesatuan Eropah ketika ini.

Selain itu, pertemuan kedua-dua tokoh itu dijangka menyentuh isu sempadan darat dan maritim selain masalah pekerja Indonesia di Malaysia.