Indonesia sokong pendekatan Malaysia bantu bangun 'peradaban' banduan Indonesia

Bernama
April 29, 2024 20:51 MYT
Usaha Malaysia itu menjadikan penjara bukan semata-mata tempat menghukum tetapi mentransformasikan ia sebagai institusi pendidikan yang memberi peluang kepada penghuni.
SANDAKAN: Indonesia menyokong segala pendekatan diambil Malaysia khususnya Sabah melalui Jabatan Penjara Malaysia dalam membangunkan 'peradaban' warga republik itu yang menjadi penghuni penjara di negara ini.
Konsul Jenderal bagi Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu Rafael Walangitan berkata usaha Malaysia itu menjadikan penjara bukan semata-mata tempat menghukum tetapi mentransformasikan ia sebagai institusi pendidikan yang memberi peluang kepada penghuni termasuk warga negara berkenaan mengikuti pembelajaran ataupun latihan kemahiran.
"Kami sangat menyokong segala perkara yang dilakukan oleh Malaysia khususnya Kerajaan Negeri Sabah dalam banyak hal kepada banduan Indonesia seperti program pemulihan, kami lihat meskipun berada di dalam penjara tetapi kondisi mereka sangat luar biasa baik, dijaga dengan baik.
"Kami melihat banyak aktiviti mereka adalah bermanfaat bahkan kalau mereka bisa keluar dari penjara ini, mereka bisa menyambung hidup dengan baik melalui kemahiran yang dipelajari atau diperoleh di penjara seperti membuat kuih, memasak dan bermain muzik yang boleh mendatangkan pendapatan untuk mereka apabila pulang ke kampung halaman di Indonesia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja dan menghadiri majlis ramah mesra Konsulat Republik Indonesia bersama warga negara itu sempena Aidilfitri di Penjara Sandakan hari ini.
Rafael turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia untuk banyak perkara misalnya banduan Indonesia yang 'terancam' hukuman mati tetapi setelah semakan, ia diganti dengan penjara seumur hidup.
"Ini satu langkah positif yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dan kami hargai, ertinya selepas ini banduan itu diberi peluang, diberi kesempatan bina diri jadi lebih baik kerana hukuman diturunkan," katanya.
Pengarah Penjara Sandakan Ab Nasir Sarahan pula berkata program pemulihan dalam penjara meliputi semua penghuni termasuk warga asing.
"Pemulihan kita adalah dinamik, kita akan sentiasa mencari peluang baharu bagi program pemulihan banduan ini supaya ia lebih berkesan," katanya kepada pemberita pada majlis sama.
Beliau berkata ketika ini, terdapat sejumlah 143 penghuni warga Indonesia di Penjara Sandakan.
-- BERNAMA
#penjara #banduan #transformasi #peradaban #pendidikan #Indonesia
;