InDrive peroleh kelulusan APAD untuk terus beroperasi di Malaysia

Azlan berkata kelulusan itu membolehkan syarikat bergerak dengan yakin dalam memastikan kestabilan untuk pemandu, penumpang serta ekosistem mobiliti yang lebih luas. - Gambar sinardaily.my
KUALA LUMPUR: Platform e-panggil global, inDrive hari ini mengumumkan penyelesaian semakan pelesenan selama tiga bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekali gus memberikan kelulusan untuk pihaknya meneruskan operasi di Malaysia.
Ringkasan AI
- inDrive mendapat kelulusan daripada APAD selepas menjalani semakan pelesenan selama tiga bulan, membolehkan mereka meneruskan operasi di Malaysia dengan lebih yakin.
- Pemandu inDrive kini perlu mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah, insurans e-panggil, serta kenderaan yang layak digunakan di jalan raya setelah pematuhan terhadap semua kriteria tersebut dipenuhi.
- Selepas mendapat kelulusan semula, inDrive akan terus memperbaiki proses pengambilan pemandu, pengesahan dokumen, audit dalaman, serta menyokong pemandu dengan lebih baik bagi memperluas operasi mereka di Malaysia.
"Setiap pemandu inDrive mesti memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah iaitu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), insurans e-panggil dan kenderaan yang layak digunakan di jalan raya -- hanya selepas semua kriteria ini dipenuhi dan permohonan Permit Kenderaan E-Panggil (EVP) diluluskan oleh APAD, barulah pemandu akan diaktifkan dalam aplikasi kami," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Pemandu Platinum inDrive 2025 di sini, hari ini.
Pada Mei lepas, APAD mengeluarkan perintah supaya InDrive menghentikan operasi atas alasan ketidakpatuhan terhadap keperluan pelesenan, selepas mendapati sebahagian pemandunya beroperasi tanpa lesen EVP dan PSV yang sah.
Bagaimanapun, platform itu dibenarkan menyambung semula operasi selama tempoh pemantauan tiga bulan yang dikenakan oleh APAD bermula Julai 2025.
Azlan berkata susulan kelulusan itu, inDrive akan terus mengukuhkan operasinya di Malaysia menerusi penambahbaikan proses pengambilan pemandu, pengesahan semula dokumen yang dipertingkatkan, audit dalaman berterusan serta peluasan inisiatif sokongan kepada pemandu.
Beliau berkata platform inDrive kini hampir mencapai sasaran 40,000 pemandu aktif di seluruh negara -- selepas berjaya mendaftarkan hampir 95 peratus daripada jumlah sasaran setakat ini.
"Ketika ini kami mempunyai inisiatif untuk pemerolehan mudah alih dengan kami memberi tumpuan kepada semua pemandu di kawasan kecil di Lembah Klang, dan kami juga mempunyai kiosk di Johor Bahru dan Pulau Pinang yang menumpukan kepada pengambilan pemandu.
"Kami sedang meneliti pelbagai inisiatif untuk meningkatkan bilangan pemandu di Malaysia bagi membantu kami mencapai sasaran," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


