Industri Acara Perniagaan berpotensi promosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau

Hasimi Muhamad
Jun 26, 2022 05:09 MYT
Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menzahirkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana sentiasa memberikan sokongan penuh dalam Industri Acara Perniagaan - Foto/Facebook Irmohizam
KUALA LUMPUR: Industri Acara Perniagaan (BE) berpotensi mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau melalui acara-acara yang berteraskan pendidikan sama ada di peringkat pengajian tinggi mahupun global.
Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, industri tersebut juga boleh melonjakkan nama Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh menghasilkan tenaga kerja berteraskan BE, sekali gus mengatasi jurang pengangguran dalam kalangan para graduan.
"Ini juga boleh diikuti dengan bagaimana penganjuran acara-acara industri perniagaan, pameran di peringkat dunia, dan ini boleh dijadikan teras untuk graduan Malaysia menceburi bidang ini secara mendalam," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Irmohizam yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik (Persidangan & Pameran) berkata, jaringan dunia yang dimiliki Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) dan WTCKL boleh dimanfaatkan oleh universiti-universiti tempatan.
Tambah beliau, kerjasama yang dilakukan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) misalnya membuka ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan dan mengasah pengalaman mereka dalam industri BE secara lebih mendalam.
"Di samping itu, ini juga ruang dan peluang bagaimana jenama WTCKL dan WTCA boleh dimanfaatkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha untuk bersama-sama mempromosikan ruang dan peluang pekerjaan baharu dalam Indusri Acara Perniagaan sama ada di peringkat Malaysia, mahupun mereka boleh bekerja di peringkat antarabangsa membawa imej Malaysia.
"Selain itu, apabila saya dijemput memberikan pandangan dan ceramah pada webinar peringkat WTCA, saya sering mengatakan Malaysia mempunyai potensi yang besar khususnya dalam membawa acara-acara berteraskan perniagaan peringkat dunia ke Malaysia, bahkan boleh bekerjasama dengan pihak universiti di Malaysia dalam usaha mendapatkan tenaga kerja profesional dalam sektor perkhidmatan," ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Irmohizam turut menzahirkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana sentiasa memberikan sokongan penuh dalam Industri Acara Perniagaan di negara ini.
Beliau juga katanya turut mengambil amanat KPT 2022 yang dibawa oleh Noraini kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi agar perlu mempunyai “skill knowledge” dalam menyesuaikan diri bagi memenuhi keperluan pekerjaan untuk masa hadapan.
#industri acara perniagaan #WTCKL #Graduan Malaysia #berita hari ini