KUALA LUMPUR : Industri aeroangkasa dijangka pulih dan bakal menjana semula pendapatan seawal 2022, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, pemulihan itu berupaya dicapai jika negara mampu mewujudkan pakej kerja baharu dengan kesan positif pada keseluruhan ekosistem melalui produk tempatan.

Bahkan, kata Azmin, proses pemulihan itu juga dapat dipercepatkan jika industri ini mampu memperluaskan perkhidmatan kargo udaranya,  penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) termasuk perkhidmatan latihan profesional.

“Sejajar dengan perkembangan global dalam  ESG (persekitaran, sosial dan pentadbiran), sektor aeroangkasa domestik juga akan membantu menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon melalui penggunaan bahan hijau menggunakan biomas Malaysia, bahan bakar bio-jet dan teknologi canggih," katanya semasa menyampaikan ucaptama dalam Airbus Malaysia Connect Webinar pada Khamis.

Pandemik COVID-19, tegas Azmin, telah menjejaskan industri aeroangkasa negara dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30 peratus pada 2020 daripada perolehan RM16.22 bilion pada 2019.

Dalam pada itu, Azmim berkata, syarikat pengeluar juga digalakkan untuk  menilai semula perancangan produk dan syarikat penerbangan mereka selain beralih kepada pesawat yang lebih efisien bahan bakar.

"Satu lagi bidang tumpuan berpotensi ialah pembangunan pesawat tanpa manusia (UAVs) dan dron. Tidak ada kekurangan bakat tempatan dalam bidang ini" tambahnya lagi.

Katanya, kerajaan mahu membangunkan satu ekosistem yang tidak terhad kepada UAVs dan dron sahaja, tetapi juga kepada pesawat Vertical Take-Off and Landing (VTOLs) dan pesawat autonomi bagi pasaran tempatan dan eksport.

"Saya ingin memuji pemain aeroangkasa kerana menunjukkan ketahanan serta kepintaran dalam menghadapi kesulitan dan pelbagai cabaran tahun lalu. Saya menggesa komuniti aeroangkasa untuk sentiasa bersedia dengan sebarang cabaran," kata beliau lagi.