KUALA LUMPUR: Industri getah bukan sekadar kegiatan perniagaan, sebaliknya warisan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosioekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan berkata, industri itu terus kekal relevan dengan eksport produk getah negara bernilai RM32.2 bilion pada 2024, selain menyediakan kira-kira 256,000 peluang pekerjaan.
“Getah ini bukan sekadar perniagaan, tetapi sebuah warisan negara dan warisan ini perlu dipelihara.
“Negara ini terbina atas asas getah yang menjadi sumber mata pencarian kepada pekebun kecil sejak dahulu,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.
Menurutnya, industri itu khususnya sektor hiliran kini berdepan cabaran lebih kompleks termasuk ketidaktentuan geopolitik, perubahan tarif, peningkatan kos pengeluaran, gangguan rantaian bekalan dan tuntutan pematuhan terhadap piawaian kelestarian antarabangsa.
Justeru, MRC menggalakkan pemain industri mempelbagaikan produk serta pasaran eksport dan tidak hanya bergantung kepada produk teras atau pasaran tradisional.
MRC turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, inovasi dan bakat muda, di samping memperluas penyertaan PMKS serta syarikat Bumiputera dalam industri produk getah.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program Pathfinder Industri yang membantu syarikat yang mempunyai produk berpotensi tetapi belum mengeksport melalui bimbingan, latihan dan akses ke pasaran antarabangsa.
“Kita mahu memastikan Malaysia terus menjadi antara negara utama yang mengeksport produk getah ke pasaran global,” katanya.