Industri MICE raih anggaran impak ekonomi RM1 bilion pada 2025

Wong pada lawatan kerja Ketua Menteri Chow Kon Yeow ke PWCC di The Light City yang turut dihadiri Pengarah Pembangunan Jangka Panjang IJM Datuk Tony Ling Thou Lung. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Industri penganjuran acara perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) di Pulau Pinang mencatatkan anggaran impak ekonomi (EEI) sebanyak RM1 bilion pada tahun lepas.
Ringkasan AI
- Industri MICE di Pulau Pinang catatkan anggaran impak ekonomi sebanyak RM1 bilion pada tahun lepas, mencecah lebih RM1 bilion merangkumi sektor pengangkutan, peruncitan, perhotelan dan rantaian bekalan.
- Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dijangka meningkatkan angka impak ekonomi bagi 2026, memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan dan penganjuran acara MICE di peringkat nasional.
- Pembangunan PWCC, pusat beli-belah, pejabat, dan hotel di kawasan tersebut berperanan sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan, menyokong fungsi pusat konvensyen, pejabat, dan hotel yang sudah ada.
"Dengan adanya Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), kita menjangka angka impak ekonomi itu akan melonjak lebih tinggi bagi 2026. Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana permintaan terhadap penganjuran acara semakin bertambah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja Ketua Menteri Chow Kon Yeow ke PWCC di The Light City di sini yang turut dihadiri Pengarah Pembangunan Jangka Panjang IJM Datuk Tony Ling Thou Lung.
Sementara itu, Chow berkata sektor MICE di Pulau Pinang telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas berikutan peranan aktif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dan Penang Global Tourism (PGT).
Katanya PWCC juga dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan dan penganjuran acara MICE bukan sahaja di wilayah utara Semenanjung Malaysia, malah di peringkat nasional.
Menurutnya penambahan pusat konvensyen baharu itu tidak bertujuan untuk merebut peluang sedia ada, sebaliknya menampung permintaan yang semakin meningkat daripada penganjur dan pelancong yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi acara.
"Pembukaan PWCC sejak Oktober lepas telah menambah satu lagi kemudahan strategik kepada ekosistem MICE sedia ada di negeri ini. Saya menyambut baik pembukaan PWCC, dan menjelang pertengahan tahun ini, pusat beli-belah, ruang pejabat serta hotel juga akan siap sepenuhnya.
"Ini akan menjadi satu pusat yang amat penting dalam meningkatkan potensi Pulau Pinang sebagai pusat penganjuran acara MICE dan turut membolehkan Pulau Pinang menyampaikan potensi sepenuhnya sebagai pusat pelancongan dan MICE di rantau utara," katanya.
Mengulas mengenai pembangunan bercampur yang merangkumi pusat beli-belah, pejabat dan hotel di kawasan PWCC, Chow berkata ia berfungsi sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan.
"Ia merupakan pembangunan bersepadu yang menyediakan kemudahan sokongan kepada pusat konvensyen dan kawasan sekitarnya.
"Oleh itu, ia mempunyai fungsi tersendiri sebagai pemangkin pembangunan dan kita mengucapkan tahniah kepada IJM serta rakan strategik kerana berjaya mempersembahkan satu kemudahan bertaraf antarabangsa kepada Pulau Pinang dan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ling berkata pusat beli-belah yang akan dibangunkan di PWCC tidak akan menyebabkan lambakan pusat beli-belah di Pulau Pinang sebaliknya merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur yang dirancang secara bersepadu.
Katanya pusat beli belah itu bukan dibangunkan secara bersendirian, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan yang merangkumi pusat konvensyen, ruang pejabat dan hotel.
''Pusat beli-belah ini adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu dan ia diwujudkan untuk menyokong fungsi pusat konvensyen, pejabat dan hotel yang ada di kawasan ini, bukan untuk menambah lambakan pusat beli-belah,'' katanya.
Media sebelum ini melaporkan projek pegangan bebas bernilai RM4.5 bilion itu, merangkumi luas lantai kasar lebih 330,000 kaki persegi yang terletak di sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan The Light Waterfront.
PWCC adalah sebahagian daripada pembangunan tepi laut Pulau Pinang, dan projek itu adalah usaha sama antara IJM Corporation Bhd (IJM) dan Perennial Holdings Private Ltd (Perennial Holdings) yang berpangkalan di Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


