MALAYSIA
Industri perlu tingkat kemahiran belia berkelayakan rendah - Ahli Majlis TVET Negara

Rizan berkata, langkah itu akan memaksa industri memberi peluang kepada bakat tempatan walaupun mereka bermula dengan kelayakan rendah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Industri perlu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, khususnya dalam kalangan belia yang mempunyai kelayakan akademik rendah.
Ahli Majlis TVET Negara, Mohammad Rizan Hassan berkata, pensijilan profesional dan latihan kemahiran berupaya menjadi pemangkin kepada golongan tersebut untuk bersaing di pasaran kerja yang semakin mencabar.
“Sudah tiba masanya kerajaan meletakkan syarat kepada industri jika mahu melabur, perlu datang sekali dengan pakej latihan.
“Bagi yang sedia ada pula, jika mahu mengambil pekerja asing, bukan sekadar mematuhi komposisi 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing, tetapi juga perlu menetapkan bentuk latihan yang akan diberikan kepada pekerja tempatan,” katanya.Rizan yang juga Presiden Belia Mahir berkata, langkah itu akan memaksa industri memberi peluang kepada bakat tempatan walaupun mereka bermula dengan kelayakan rendah.
Beliau turut menekankan kepentingan pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi memastikan peluang pekerjaan dapat dijamin kepada pelajar yang menamatkan pengajian seawal usia 17 tahun.
“Promosi TVET begitu kuat sehingga ramai pelajar meninggalkan sekolah menengah untuk menyertainya tetapi apabila tiba masa untuk bekerja, mereka terpaksa melalui ‘cooling period’ enam bulan sehingga setahun,” katanya.
Pandangan tersebut disuarakan dalam Dialog Poket Rakyat; RMK13: Reformasi Ekosistem dan Pembangunan Modal Insan TVET.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini dalam proses merangka pindaan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652), yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menterinya, Steven Sim, berkata pindaan tersebut antara lain bertujuan memperkasa Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dengan menaik taraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Tahap 5 kepada Tahap 6, 7 dan 8. Langkah ini akan menjadikan SKM setara dengan kelayakan akademik seperti ijazah sarjana muda dan doktor falsafah (PhD).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami