Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Industri tuna jadi pemacu utama ekonomi maritim Malaysia

Bernama 13/10/2025 | 15:18 MYT
Kerajaan komited untuk mengukuhkan industri tuna sebagai sebahagian daripada agenda perikanan nasional yang lebih luas. - Bernama
LABUAN: Industri tuna Malaysia sedang berkembang pesat menjadi segmen berimpak tinggi dalam sektor perikanan, secara signifikan, menyumbang kepada pengeluaran makanan laut serta ekonomi maritim negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Industri itu merangkumi pelbagai aktiviti, dari penangkapan serta pendaratan tuna untuk pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan sejuk dan pemasaran termasuk mewujudkan rantaian nilai yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan selain mengukuhkan daya saing Malaysia di pasaran global, katanya.

"Sebagai salah satu sektor strategik dalam pembangunan ekonomi maritim, industri tuna bukan sahaja mampu menambah nilai kepada sumber laut negara tetapi juga menjana pendapatan bagi usahawan tempatan, peluang pekerjaan dan kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa," katanya pada majlis makan malam para peserta Persidangan Tuna Labuan 2025 yang diadakan di Dewan Konvensyen Taman Kewangan malam ini.

Kerajaan komited untuk mengukuhkan industri tuna sebagai sebahagian daripada agenda perikanan nasional yang lebih luas, memastikan kemampanan, keselamatan makanan serta keterangkuman ekonomi di seluruh wilayah maritim di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan industri itu bergantung kepada kerjasama yang berkesan antara agensi persekutuan dan negeri, sektor swasta serta komuniti tempatan dalam membangunkan produk nilai tambah sambil mengekalkan keseimbangan alam sekitar.

Memandangkan Labuan terletak secara strategik di tengah-tengah koridor maritim Borneo, ia telah memainkan peranan penting sebagai hab baru muncul kepada industri tuna.

Pembangunan pulau itu, bukan sahaja direka bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat tetapi turut menumpahkan impak ekonomi bagi kawasan berdekatan di seluruh Borneo.

Katanya, Labuan sedang berkembang dengan tumpuan baharu pada strategi ekonomi biru serta ekonomi kitaran, yang merangkumi penubuhan sebuah taman perindustrian bersepadu dan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik, sejajar dengan visi Labuan untuk menjadi "Pulau Pintar".

"Inisiatif ini dijangka akan bertindak sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi serantau sambil menyokong projek infrastruktur strategik seperti cadangan jambatan penghubung, pelabuhan bersepadu dan kemudahan logistik yang moden," katanya.

Beliau menekankan bahawa di bawah Rancangan Struktur Labuan 2040 (RS Labuan 2040), kerajaan sudah mengenal pasti pengukuhan pertanian dan perikanan sebagai tiang utama keselamatan makanan, dengan pembangunan tuna membentuk sebahagian daripada sektor ekonomi berpotensi tinggi Malaysia.

Projek-projek seperti Kompleks Perikanan LKIM Labuan serta pembangunan perindustrian berasaskan tuna yang dicadangkan di taman perindustrian bersepadu, katanya, adalah langkah strategik bagi meningkatkan ekosistem perikanan dan kedudukan Labuan sebagai hab industri tuna utama negara.

"Dengan kerjasama yang mantap antara Perbadanan Labuan dengan Jabatan Perikanan Malaysia, saya yakin Labuan akan menjadi pintu masuk strategik utama bagi industri tuna nasional. Saya difahamkan bahawa beberapa inisiatif pembangunan strategik sedang dirancang oleh Perbadanan Labuan untuk mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai wilayah maritim yang kompetitif dan berimpak tinggi," katanya.

Arthur turut menyeru para usahawan serta pemain industri untuk berinovasi dalam produk berasaskan tuna bagi mengurangkan pergantungan import, meningkatkan eksport dan menguasai sebahagian daripada pasaran tuna global yang menguntungkan.

"Pada masa yang sama, keselamatan makanan dan pematuhan dengan standard seperti halal, amalan pembuatan yang baik (GMP) serta analisis bahaya dan titik kawalan kritikal (HACCP) perlu diberi keutamaan... penggunaan teknologi moden akan melonjakkan kualiti produk dan daya saing, membantu Malaysia menembusi pasaran antarabangsa," tambahnya.

Beliau memberitahu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan amat menyokong penuh inisiatif Jabatan Perikanan Malaysia dan Perbadanan Labuan yang berterusan dalam mengukuhkan kerjasama di seluruh rantaian bekalan makanan, terutamanya di Labuan.

--BERNAMA


#industri tuna #perikanan #pengeluaran makanan laut #maritim negara #Arthur Joseph Kurup