NATIONAL
Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.8 peratus pada tahun 2024
Mohd Uzir (foto) berkata kesemua kumpulan mencatatkan kenaikan pada 2024 kecuali maklumat dan komunikasi (-1.5 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.3 peratus). -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.8 peratus pada tahun 2024 daripada 2.5 peratus direkodkan pada 2023 dengan mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.4 pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- Inflasi Malaysia meningkat perlahan 1.8% pada 2024 berbanding 2.5% pada 2023, dengan mata indeks 132.8 berbanding 130.4.
- Pengukuhan ringgit, penyusutan harga komoditi, dan subsidi kerajaan membantu mengekang inflasi.
- Empat negeri melepasi paras inflasi nasional 1.8% pada 2024: Pulau Pinang (3.0%), Pahang (2.4%), Sarawak (2.4%), dan Selangor (2.1%).
DOSM dalam kenyataan hari ini berkata inflasi dunia merekodkan 5.7 peratus pada 2024 daripada 6..6 peratus tahun sebelumnya berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bulan April tahun ini.
"Selain pengukuhan mata wang ringgit dan penyusutan harga komoditi dunia, inisiatif kerajaan dalam mengawal harga barang dan perkhidmatan serta pemberian subsidi bagi barangan tertentu, membantu mengekang inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi," katanya.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kesemua kumpulan mencatatkan kenaikan pada 2024 kecuali maklumat dan komunikasi (-1.5 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.3 peratus).
"Peningkatan lebih rendah bagi inflasi Malaysia didorong oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan (3.1 peratus); makanan dan minuman (2.0 peratus); kesihatan (1.8 peratus); pendidikan (1.5 peratus); pengangkutan (1.0 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.7 peratus).
"Dalam pada itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.0 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.0 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.8 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.7 peratus) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (0.3 peratus) mencatatkan lonjakan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata inflasi bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatatkan peningkatan ketara walaupun inflasi keseluruhan menyederhana pada tahun 2024.
Ia berikutan kenaikan caj perkhidmatan pembetungan oleh Indah Water Konsortium (IWK) pada Januari 2024 bagi mengimbangi kenaikan kos operasi.
"Kenaikan kumpulan ini turut didorong oleh pelarasan tarif perkhidmatan bekalan air oleh kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen per meter padu bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Februari, 2024," katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata inflasi melibatkan pengangkutan merekodkan peningkatan lebih perlahan kepada 1.0 peratus (2023: 1.1 peratus), kebanyakannya disumbangkan oleh subkumpulan pembelian kenderaan yang menyederhana kepada 0.1 peratus berbanding 1.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, inflasi untuk pengurusan peralatan pengangkutan persendirian menokok lebih tinggi pada 2024 iaitu 1.3 peratus (2023: 0.8 peratus) susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar bermula 10 Jun, 2024 oleh kerajaan bagi mengawal ketirisan subsidi diesel, katanya lagi.
Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri pula, beliau berkata kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan perlahan dalam inflasi, empat negeri melepasi paras inflasi nasional 1.8 peratus pada 2024, Pulau Pinang (3.0 peratus), Pahang (2.4 peratus), Sarawak (2.4 peratus) dan Selangor (2.1 peratus).
Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan yang paling rendah iaitu 0.7 peratus.
"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan perlahan bagi inflasi kumpulan makanan dan minuman pada 2024," katanya.
Mengulas mengenai inflasi negara anggota ASEAN, Mohd Uzir berkata, "Kadar inflasi di rantau berkenaan berada pada negatif 0.4 peratus hingga 23.1 peratus pada 2024. Laos mencatatkan inflasi tertinggi iaitu 23.1 peratus, manakala Brunei Darussalam mencatatkan inflasi terendah pada negatif 0.4 peratus
"Lima negara mencatatkan kadar inflasi lebih tinggi daripada Malaysia (1.8 peratus) iaitu Laos, Vietnam, Filipina, Singapura dan Indonesia manakala, Kemboja, Thailand dan Brunei Darussalam merekodkan kadar inflasi lebih rendah berbanding Malaysia," katanya.
-- BERNAMA