Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Influenza: N. Sembilan rekod 299 kes pada Minggu 41

Bernama 15/10/2025 | 10:14 MYT
Kebanyakan kes libatkan pelajar termasuk di asrama dan institusi pendidikan kerajaan serta swasta dengan majoritinya dirawat sebagai pesakit luar. - Gambar hiasan/www.rawpixel.com
SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan 299 kes influenza pada Minggu Epidemiologi (ME) 41 iaitu dari 5 hingga 11 Okt berbanding 154 kes pada minggu sebelumnya, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata.

Beliau berkata kebanyakan kes melibatkan pelajar termasuk di asrama dan institusi pendidikan kerajaan serta swasta dengan majoritinya dirawat sebagai pesakit luar serta berada dalam keadaan stabil.

"Bagi kluster influenza dan Penyakit Seperti Influenza (ILI) yang dilaporkan, Jabatan Kesihatan negeri telah melaksanakan langkah kawalan di semua sekolah yang terlibat termasuk kerja disinfeksi di bilik darjah, asrama dan surau.

"Langkah lain ialah melaksanakan pendidikan kesihatan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai kebersihan diri dan etika batuk yang betul serta menjalankan pemantauan pelajar bergejala secara harian di sekolah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah juga memberi input teknikal kepada pihak sekolah mengenai kebenaran pulang dan cuti kuarantin pelajar bergejala, lokasi kuarantin dan proses pengasingan pelajar yang bergejala selain sekolah diminta terus memantau gejala dalam kalangan pelajar.

Aminuddin berkata golongan berisiko seperti kanak-kanak, ibu hamil dan warga emas digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza bagi mencegah daripada penyakit tersebut.

-- BERNAMA

#Influenza #Negeri Sembilan #jumlah kes jangkitan #kesihatan #rawatan