Influenza: Situasi di N. Sembilan terkawal - Aminuddin

Situasi influenza di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal dan sentiasa di bawah pemantauan pihak berkuasa kesihatan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Situasi influenza di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal dan sentiasa di bawah pemantauan pihak berkuasa kesihatan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata meskipun terdapat beberapa kes dilaporkan di sekolah, keadaan semasa tidak membimbangkan dan tidak memerlukan sebarang langkah tambahan termasuk pemberian vaksin secara percuma.
"Kami sedia maklum, influenza ini berlaku di hampir seluruh negara termasuk beberapa sekolah di Negeri Sembilan, namun keadaan itu terkawal. Buat masa ini tiada keperluan untuk bagi vaksin percuma kepada pelajar.
"Ibu bapa diharap memastikan kesihatan anak-anak sebelum dihantar ke sekolah selain warga emas yang berisiko boleh dapatkan vaksin secara percuma di klinik kesihatan kerajaan," katanya selepas merasmikan penutupan Kejohanan Sukan Negeri Sembilan Badan Beruniform 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat melaksanakan suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada pelajar bagi mengekang risiko penularan penyakit itu seperti yang dilakukan kerajaan Selangor.
Aminuddin berkata Negeri Sembilan merekodkan 299 kes influenza pada Minggu Epidemiologi (ME) 41 iaitu dari 5 hingga 11 Okt berbanding 154 kes pada minggu sebelumnya.
Mengenai isu tugu yang dibina di Bandar Tasik Senangin di sini yang mengundang kegusaran penduduk, Aminuddin berkata pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan sepatutnya dan mengingatkan setiap pembinaan awam perlu mengambil kira sensitiviti bagi mengelakkan salah faham.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


