Ingati dan contohi nilai kepimpinan Tun Ghafar Baba - Najib

Bernama
April 23, 2016 12:24 MYT
Yang Dipertua Negeri Tun Khalil Yaakob (kanan) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) mendengar penerangan Tamrin Tun Ghafar, ketika melawat Memorial Tun Abdul Ghafar Baba hari ini. - Foto Bernama
Anggota UMNO perlu mengingati dan mencontohi nilai ketaatan, kesetiaan dan ketulenan kepimpinan bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden UMNO itu berkata Abdul Ghafar menunjukkan ketaatan kepada pemimpin, kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada UMNO dan ketulenan manifestasi prinsip perjuangan UMNO.
"Saya cuba nak tanya apakah sebenarnya bila kita adakan majlis seperti ini, apakah signifikannya, signifikannya dua (iaitu) satu kita peringati tokoh negarawan, politik, pemimpin kita sanjung tinggi dan kedua, kita cuba untuk peringati nilai-nilai kepemimpinannya.
"Saya tanya pada diri saya apa nilai Encik Ghafar kepada kita terutama kepada kita generasi ini, saya simpulkan satu ketaatan, kedua kesetiaan, ketiga ketulenan ... itulah Encik Ghafar kepada UMNO dan kita semua," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Bacaan Tahlil dan Doa Sempena 10 Tahun Pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, di sini, hari ini.
Tun Abdul Ghafar yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan menjadi timbalan perdana menteri dari 10 Mei 1986 hingga 15 Okt 1993 dan juga Ketua Menteri Melaka dari 1 Jun 1959 hingga 5 Okt 1967.
#Najib Tun Razak #Perdana Menteri #Tun Abdul Ghafar Baba #UMNO