GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melanggar tempoh kuarantin kendiri apabila hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada 2 September.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu pada 10 September lepas.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

"Pihak kita sedang dalam proses untuk melengkapkan siasatan mengikut KEP dan sebaik selesai ia akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya" katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, selain Guan Eng, polis juga telah merekodkan keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis lepas.

Tidak ketinggalan, polis turut merekod keterangan individu yang telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan .

Pada Khamis lalu, Guan Eng dalam kenyataan menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu beliau hanya dimaklumkan kemungkinan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 pada 2 September setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang

Sebaik dimaklumkan beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri dan kemudiannya diuji negatif

Pada Rabu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang dan Pemuda MCA Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan Jalan Utama di Pulau Pinang itu tidak hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada minggu lepas selepas beliau diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili beliau memaklumkan perbicaraan kes Guan Eng ditangguhkan kepada 22 September ini.

Penangguhan itu dibuat selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.