Ingkar PKP: 312 individu ditahan, termasuk kaki kelab malam, pelacuran

Firdaus Azil
September 11, 2020 08:11 MYT
Daripada jumlah tersebut, 267 individu telah dikompaun manakala 38 individu direman dan 7 individu lagi dijamin. - Gambar fail
Operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam menyaksikan 312 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKP.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini berkata, daripada jumlah tersebut, 267 individu telah dikompaun manakala 38 individu direman dan 7 individu lagi dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (23), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (143).
“Selain itu, aktiviti di dalam pub/kelab malam (70), warga asing tanpa dokumen perjalanan (7), premis beroperasi melebihi tempoh (1) dan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran (31),” katanya lagi.
Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa telah menangkap 86 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), seorang penyeludup dan dan tekong.
“Sebanyak 82 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (60 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi.
Mengenai Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ismail Sabri berkata, sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,914 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.
Sebanyak 12,982 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,709 pusat perniagaan, 5,714 bangunan kerajaan, 1,597 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,608 tempat awam dan 354 pasar raya, tambahnya lagi.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,622 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,607 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #kelab malam #kerajaan #menteri #operasi #PDRM #pelacuran #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #warga asing