Ingkar PKP: 372 individu dikompaun, 21 direman

Astro Awani
Januari 7, 2021 09:46 MYT
ISMAIL: Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan yang melibatkan 195 individu, dan 89 individu tidak memakai pelitup muka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 393 individu telah ditahan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu 372 dikenakan kompaun manakala 21 direman.
Beliau memberitahu, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan yang melibatkan 195 individu, 89 individu tidak memakai pelitup muka, 70 individu gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, 36 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan 3 individu melakukan lain-lain kesalahan.
"Semalam (6 Januari 2021), Operasi Benteng telah berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong serta merampas 7 buah kenderaan darat.
"Sebanyak 111 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam," katanya dalam kenyataan media harian perkembangan pelaksanaan PKP dan PKPP.
Beliau juga menjelaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Dalam kenyataan itu juga Ismail Sabri turut memaklumkan, pada Rabu, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melakukan pemeriksaan di 22 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan telah mematuhi SOP yang ditetapkan.
#ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Pertahanan #perintah kawalan pergerakan #PKP #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP