KUALA LUMPUR: Pelaksanaan denda RM10,000 bagi kesalahan pertama ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mengakibatkan masyarakat tidak akan berpuas hati, tegas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak konsisten akan mengelirukan rakyat dan pihak penguatkuasa. 

"SOP patut konsisten dan tidak boleh sering 'flip-flop' sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala," kata Ahli Parlimen Pekan itu. 

Jelasnya lagi, beliau menyokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang melanggar SOP, tetapi beliau sama sekali tidak menyokong tindakan memukul rata kesemua pelanggaran SOP.

“Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

“Ianya menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan semalam, individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

BACA: Individu ingkar SOP COVID-19 berdepan denda RM10,000 mulai 11 Mac 2021

Najib berkata, Kerajaan seharusnya mempertimbangkan kaedah hukuman progresif, iaitu menaikkan kadar hukuman secara berkala kepada pesalah degil yang berulang-ulang kali melanggar SOP.

Beliau berkata, kesalahan kurang serius yang melibatkan bilangan rakyat paling ramai mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja.

Oleh itu, tegasnya lagi, pelaksanaan denda perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif  - bukan untuk memufliskan rakyat.

“Sebagai contoh bagi kesalahan kurang serious, dendanya boleh dinaikkan secara progresif Kesalahan pertama: RM1,000; Kesalahan kedua: RM3,000; Kesalahan ketiga: RM6,000; Kesalahan keempat dan seterusnya: RM10,000.

“Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP,” tambahnya.