KUALA LUMPUR:Masyarakat dan jiran perlu kembali bersikap ‘menjaga tepi kain” sesama tetangga dalam memainkan peranan menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa  bagi mengesan sekiranya berlaku kejadian dera di kawasan setempat.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Datin Dr Mariani Md Nor, dengan keadaan negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah masanya untuk masyarakat benar-benar ‘menjaga kita’.

“Masyarakat terutamanya jiran tetangga boleh memainkan peranan sebagai “mata -mata”kerana kita ada gajet dan telefon iaitu alat teknologi canggih, yang mana sekali panggilan dari anda dapat terus membantu mereka yang memerlukan,

“Sekarang bukan masanya untuk takut menjaga tepi kain orang, sekarang adalah masanya dalam keadaan PKP dan dalam kes dera sampai mati ini, ‘kita jaga kita’ melangkaui dari keluarga itu sendiri,” kata Dr Mariani.

Bagaimana mengajar kanak-kanak mengenai Talian Kasih

BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera, mungkin sudah lama meninggal dunia - Jiran

Beliau berkata jiran tetangga boleh membuat aduan sekiranya ada mendengar jeritan atau tangisan yang luar biasa dalam kalangan kejiranan sendiri.

“Kadang-kadang kanak-kanak menangis, jiran takut mengadu kerana kanak-kanak biasa menangis, tetapi kita boleh lihat corak kanak-kanak itu menangis, bila kanak-kanak itu menangis, adakah bersama ibu bapa, atau ibu bapa baru pulang dari kerja dan bila tangisan itu berlaku.

“Sekaranglah dalam PKP ini masanya jaga tepi kain orang bagi memastikan tak ada lagi kes hilang nyawa akibat didera oleh ahli keluarga sendiri dalam,” kata Dr Mariani.

Dalam masa yang sama, Dr Mariani memaklumkan bahawa pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk mengetahui bagaimana memohon bantuan di Talian Kasih juga perlu dilakukan selain mengajar mereka seawal usia pra-sekolah lagi bagaimana untuk mengadu dan meminta bantuan sekiranya didera ahli keluarga sendiri.