[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

'Ini mungkin malam terakhir' - Haikal Luqman luah risiko tinggi misi kemanusiaan ke Gaza

Astro Awani 01/10/2025 | 01:10 MYT
Haikal memaklumkan kapal misi berada 14 jam dari zon merah dan berdepan kemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa Israel. - Foto Threads/haikalluqman_
KUALA LUMPUR: “Ini mungkin malam terakhir kita boleh berbual-bual, esok mungkin sudah ditahan.”


Ringkasan AI
  • Haikal memaklumkan kapal misi berada 14 jam dari zon merah dan berdepan kemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa Israel, namun tetap bertekad meneruskan pelayaran.
  • GSF bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi juga bertujuan mendesak pemimpin dunia menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
  • Armada laut dari Itali, Sepanyol dan UK mengiringi konvoi sebagai langkah keselamatan, sementara masyarakat antarabangsa terus mengikuti perkembangan misi secara langsung.


Begitulah luahan penuh emosi Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd Haikal Luqman Zulkefli, yang kini berada di atas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza.

Dalam kenyataan terbaharu, Haikal memaklumkan bahawa kapal yang dinaiki bersama pasukan aktivis antarabangsa kini berada kira-kira 14 jam sebelum memasuki zon merah - kawasan berisiko tinggi yang menghampiri perairan Gaza.

Beliau mengakui pasukan misi berdepan kemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa Israel, namun tetap bertekad meneruskan pelayaran demi memecahkan kepungan haram dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Misi ini bukan sekadar menghantar makanan dan ubatan. Ia adalah usaha mendesak pemimpin dunia agar menghentikan kekejaman terhadap rakyat Gaza,” tegas Haikal.

GSF merupakan inisiatif kemanusiaan global yang menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, untuk menunjukkan solidariti dan menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza yang terkesan akibat konflik berpanjangan.

Dalam perkembangan terkini, armada laut dari Itali, Sepanyol dan United Kingdom dilaporkan sedang mengiringi pelayaran GSF di perairan antarabangsa sebagai langkah keselamatan.
Kehadiran mereka dilihat sebagai sokongan diplomatik terhadap misi kemanusiaan ini.

Misi GSF terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, dengan ramai yang mengikuti perkembangan secara langsung melalui media sosial dan saluran rasmi.

Ketegangan semakin memuncak menjelang detik kritikal pelayaran ke zon merah Gaza.







#Muhd Haikal Luqman Zulkefli #CGM #Gaza #GSF