Juruterbang senior AirAsia, Dwi Harso Syah menempelak pendapat beberapa penganalisis penerbangan Indonesia yang disifatkannya sebagai tidak berasas berhubung musibah yang menimpa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Menurut Dwi, pendapat yang diberikan penganalisis bagaikan tidak terkawal dan boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat untuk menaiki kapal terbang, lapor detik.com.

Mengulas lanjut, Dwi berkata pandangan pakar yang mengatakan bahawa awan kumulonimbus adalah musuh atau malapetaka kepada dunia penerbangan boleh dipertikaikan.

“Ulasan mereka boleh membuat masyarakat paranoid untuk naik kapal terbang. Awan kumulonimbus misalnya, dikatakan sebagai malapetaka yang tidak dapat dihindari. Sebetulnya, awan kumulonimbus itu sebenarnya adalah ‘sahabat penerbangan’.

“Awan kumulonimbus bukan musuh yang tidak boleh diatasi. Ia sentiasa ada. Apabila mendengar analisa para pakar, saya sendiri jadi takut.

"Padahal, sebagai juruterbang yang sudah berpengalaman, saya sudah berkali-kali terbang menghadapi taufan dan masih boleh mengatasinya dengan baik,” jelas Dwi yang sudah 31 tahun menjadi juruterbang.

Dwi yang berasal dari Solo ditemui pemberita ketika menghadiri pengebumian pramugara pesawat QZ8501, Wismoyo Ari Prambudi di Klaten.

Dwi sendiri mengakui semenjak tragedi pesawat QZ8501, dia banyak menerima mesej mengenai kebimbangan menaiki kapal terbang dan pesanan seolah-olah risiko selamat dalam penerbangan hanyalah 50-50.

“Hal tersebut akan sangat mengganggu dunia penerbangan. Pesawat yang digunakan bukan sebarangan. Ini pesawat canggih!

"Malah pesawat yang kami gunakan pernah selamat mendarat tanpa roda, itu tak pernah disampaikan kepada masyarakat.

"Pakar dan penganalisis diminta berhenti membuat imej simulasi menggunakan pesawat mainan yang diseram-seramkan ketika memasuki awan kumulonimbus,” tegas Dwi.