'Ini untuk lawan persepsi, Nik Nazmi betulkan dulu reformasi dalam PKR' - Pemuda UMNO
Astro Awani
Februari 19, 2015 19:50 MYT
Februari 19, 2015 19:50 MYT
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak, hari ini terpanggil untuk menjawab kritikan mengenai forum penerangan berhubung kes Liwat 2 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga cabaran debat yang dimahukan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ibdilillah yang juga Pengerusi Biro Media Sosial tersebut menegaskan bahawa dialog yang telah dianjurkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 17 Februari 2015 adalah bertujuan untuk memberi penjelasan berdasarkan fakta kes sepanjang tempoh perbicaraan yang berlangsung selama 6 tahun.
“Sepanjang kes itu berlangsung, UMNO telah dituduh sebagai dalang di sebalik kes tersebut oleh Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan juga media mereka.
“Selama itu juga, UMNO telah mengambil pendirian untuk berdiam diri dan menghormati proses perbicaraan. Kini kes tersebut sudah selesai, ini adalah masa yang terbaik untuk menangkis segala penipuan yang mengatakan UMNO adalah dalang konspirasi kes tersebut,” ujar Ibdilillah.
Menurutnya, persepsi yang dibuat oleh PR jika tidak dicegah akan menjadi wabak dan akhirnya menyebabkan rakyat percaya bahawa kes liwat Anwar adalah konspirasi UMNO.
Justeru itu penjelasan dengan fakta kes serta kronologi kes liwat perlu disampaikan kepada rakyat agar menolak persepsi negatif yang dibuat oleh PR.
“Forum tersebut adalah untuk mengurus persepsi. Pemuda UMNO Malaysia berpendirian bahawa perlunya kita melawan persepsi negatif ini dengan fakta yang sahih dan konkrit,” tegasnya.
Tambah Ibdilillah, kaedah yang diguna semasa forum-forum anjuran Pemuda UMNO Malaysia adalah bersifat dua hala. Sesi tersebut membuka ruang untuk sesi soal jawab dan sesiapa saja tidak dihalang untuk melontarkan persoalan.
“Adakah PR berasa bimbang dengan penjelasan yang dibuat Tan Sri Shafee? Adakah mereka bimbang kebenaran bakal terungkai? Jika mereka tidak bimbang akan penjelasan Tan Sri Shafee, mengapa mereka perlu melatah atau mengkritik forum yang dianjurkan itu?” tanya Ibdilillah.
Cabaran debat
Sementara itu, Ibdilillah berkata, cabaran debat Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin boleh dianggap sebagai suatu yang tidak relevan.
“Saya ingin melontarkan beberapa persoalan kepada Nik Nazmi. Adakah beliau ingin bersikap populis untuk meraih semula sokongan dari kalangan ahli AMK dan untuk mengalih pandangan isu perpecahan dalam AMK?” katanya.
Ibdilillah juga dalam kenyataannnya melontar pertanyaan yang mencadangkan agar Nik Nazmi berdebat dahulu dengan peguam Anwar yang jelas tidak mampu membela Ketua Umum PKR.
“Sebaiknya Nik Nazmi harus mereformasikan PKR itu terlebih dahulu. Tidak perlulah untuk terus memburukkan badan kehakiman negara. Lebih baik Nik Nazmi ‘mereformasikan’ sistem pemilihan PKR yang jelas tidak telus,” ujarnya.
Tambah Ibdilillah, Nik Nazmi jelas seorang yang tidak berkredibiliti dalam partinya sendiri, apabila pernah diboikot 16 EXCO AMK selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan.
“Adakah menjadi satu kesalahan apabila UMNO mahu lawan penipuan yang dibuat Pakatan Rakyat?
“Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri lagi, kami akan terus menyatakan kebenaran berhubung kes ini. Masanya sudah tiba,” ujar Ibdilillah.