NATIONAL
Inilah Kapten Hamdan Che Ismail, yang menerbangkan vaksin COVID-19 ke Malaysia

Juruterbang MH604, Hamdan Che Ismail bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negara, membawa kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia. - Gambar Astro AWANI/RIDAUDDIN DAUD
SEPANG: Bangga, teruja, terharu.
Pastinya, suatu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan juruterbang pesawat Airbus 330-300, MH604, Kapten Hamdan Che Ismail.
Menjadi juruterbang pertama membawa vaksin COVID-19 ke bumi Malaysia, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini bangga kerana terlibat dalam sebahagian daripada sejarah negara.
"Malaysia 604 bagi pihak KLIA Tower dan rakyat Malaysia, kami ingin mengucapkan penghargaan kepada Malaysia Airlines dan MasKargo kerana membawa pulang kumpulan pertama vaksin ke negara kita.
"Ini satu sumbangan kepada negara kita untuk memerangi COVID-19, terima kasih," kata Penolong Pegawai Kawalan Trafik Udara, Abdul Rahman Ishak.
Menerima ucapan sebegitu sebaik memulakan perjalanan dari Singapura pada jam 9 pagi, terus menaikkan semangat Hamdan dan empat lagi krew MH604.
Mesej daripada Menara Kawalan itu benar-benar memberi makna kepada krew tersebut.
Begitupun, doa tidak putus-putus tetap dipanjatkan agar semuanya berjalan lancar.
“Saya diberitahu (untuk bawa MH604) dua tiga hari sebelum ini. Asalnya saya tak jangka saya dipilih untuk menyertai penerbangan ini.

Hamdan (dua kanan) menerima ucapan tahniah selepas selamat membawa vaksin COVID-19 ke Malaysia pada Ahad, 21 Februari 2021.
Ternyata, segala dirancang berjalan sebaiknya dan pesawat tersebut selamat tiba di Malaysia pada jam 10 pagi, membawa 312,390 dos vaksin.
Selama 29 tahun berkhidmat dengan Malaysia Airlines, mungkin inilah penerbangan yang paling memberi makna buatnya.
Perjalanan hampir satu jam dari Singapura tidak begitu terasa dan sebaik tayar pesawat mencecah tanah air, perasaan bangga, terharu, teruja dengan pantas menyelubungi hati Hamdan dan krewnya.
“Agak terharu juga. Daripada reaksi semua yang berada di bawah semasa kami tiba, saya rasa semua yang berada di situ mengharapkan apa yang kami bawa, vaksin itu akan memberi sesuatu yang bagus untuk kita.
“Terutamanya dalam memerangi COVID-19. Jadi kami memang sangat teruja, Alhamdulillah,” ujarnya.
Dari riak wajahnya, jelas beliau gembira ditugaskan untuk menerbangkan pesawat bersejarah itu bahkan boleh dikatakan pada sepanjang masa, senyuman sentiasa terukir di wajahnya.
Malah, beliau juga sempat menitipkan pesanan ini untuk rakyat Malaysia.
“Saya berharap rakyat Malaysia termasuk keluarga saya akan melalui program yang dirancang (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan).
“Jangan risau dengan vaksin ini, pastinya ia bagus untuk kita semua,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami