Inisiatif bank bergerak, langkah tepat bantu penduduk luar bandar - ADUN Pakan

Astro Awani
November 6, 2020 13:56 MYT
William Mawan berharap inisiatif bank bergerak ini dapat dipercepatkan di kawasan yang memerlukan terutama ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19. - Foto Facebook/Tan Sri William Mawan Ikom
KUALA LUMPUR: Inisiatif memperluas perkhidmatan bank bergerak di negeri Sabah dan Sarawak dialu-alukan di saat negara masih berdepan penularan COVID-19.
Malah dengan pelaksanaan inisiatif ini, ia bakal memberi akses yang mudah kepada penduduk di kawasan pedalaman melakukan urusan perbankan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan, usaha penambahan perkhidmatan ini boleh dilaksanakan di masa hadapan kerana ketika ini apa yang lebih penting adalah urusan rakyat dapat dipermudahkan terlebih dahulu.
“Inisiatif ini boleh diimplementasi secepatnya bukan hanya di Pakan, Sarikei tetapi juga di kawasan lain yang memerlukan lebih-lebih lagi di saat negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19.
“Untuk penambahbaikan, ia mungkin boleh diusahakan kemudian kerana dengan inisiatif bank bergerak ini, ia ternyata mampu membantu penduduk luar bandar memudahkan urusan perbankan mereka ketika ini,” katanya.
Pada Pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan memutuskan untuk memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sarawak dan Sabah.
Menerusi pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, inisiatif ini selaras dengan perkhidmatan sama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak sebelum ini.
Tambahnya, langkah ini dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
#Belanjawan 2021 #inisiatif bank bergerak #memperluas bank bergerak #urusan perbankan pedalaman #Sabah dan Sarawak #memudahkan akses rakyat